PELUMBA trek negara, Mohd Azizulhasni Awang tidak mahu terbawa-bawa dengan kejayaannya pada Grand Prix Perth minggu lalu malah mengambil sikap berhati-hati menjelang Kejuaraan Berbasikal Piala Dunia di Melbourne, Australia bermula hari ini hingga Sabtu.
Pelumba berasal dari Terengganu itu masih segar selepas kemenangan dalam acara pecut lelaki GP Perth di Midvalle yang turut menyaksikan seorang lagi pelumba negara, Josiah Ng memenangi emas acara keirin.
Dan kejayaan itu disifatkan berlaku dalam 'mood peralihan' ketika skuad negara sedang menjalani latihan bagi menghadapi kejohanan lebih penting iaitu Kejohanan Dunia tahun depan.
"Saya tidak meletakkan apa-apa harapan besar tetapi saya harap dapat beraksi baik," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas.
"Tanpa Rizal (Tisin) kami akan mencuba kombinasi lain pula bersama Josiah dan Edrus Mohd Yunos."
Azizulhasni menewaskan pelumba Australia, Scott Sunderland dalam final acara pecut di Perth minggu lalu akan menyertai tiga acara iaitu pecut individu, pecut berpasukan dan keirin di Melbourne kali ini.
Selain Azizulhasni, Malaysia turut akan diwakili Josiah dan Edrus di Melbourne yang juga pengkalan latihan mereka.
Seorang lagi pelumba negara, Rizal masih berada di tanah air bagi menyelesaikan masalah berkaitan kerja dan dijangka menyertai skuad itu hujung bulan ini.
Azizulhasni menjelaskan dia baru sembuh daripada demam dan cirit-birit yang dialaminya sejak minggu lalu tetapi semua persiapan pasukan berjalan lancar di bawah kendalian ketua jurulatih, John Beasley.
"Tidak ada apa yang perlu diperbaiki lagi tetapi kami baru berlatih selama sebulan dan sasaran utama kami di kejohanan ini ialah melihat sejauh mana tahap latihan kami selama sebulan itu," katanya.
Bagaimanapun, semangat tambahan pasti dirasai Azizulhasni yang memberitahu kira-kira 20 penyokong warga Malaysia dari Universiti Latrobe, Melbourne akan hadir untuk memberi sokongan buat dia dan rakan-rakan.
Berita Harian
Comments
Post a Comment