| |
| Najib Tun Razak bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor bergambar dengan (dari kiri) Ismail Sabri Yaakob, James Blake, John McEnroe, Roger Federer, Bjorn Borg dan Datuk Abdul Razak Latiff sebelum perlawanan beregu SOC, semalam. |
KUALA LUMPUR - Pemain nombor dua dunia, Roger Federer dari Switzerland memilih Pertarungan Juara-Juara (SOC) Kuala Lumpur 2008 di Stadium Putra, Bukit Jalil untuk menebus kekalahan mengejutnya pada Sukan Olimpik Beijing lalu kepada James Blake dari Amerika Syarikat, semalam.
Juara Wimbledon lima kali sejak 2003 ini memenangi pertarungan dengan pemain nombor 10 dunia itu menerusi tie-break, 7-6 (10-7) di depan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob.
Mendapat sorakan dan pelbagai jeritan sebagai tanda sokongan 8,000 penonton, Federer, 27, hanya memerlukan 44 minit untuk menjinakkan Blake, 29, dalam pertarungan yang cuma dihadkan satu set ekoran kesuntukan masa sebelum kedua-duanya kembali berentap untuk perlawanan beregu pada kemuncak SOC.
Kata Federer: "Saya memang yakin menang dan seronok kembali ke sini (selepas menentang Pete Sampras dalam Pertembungan Masa di Shah Alam, tahun lalu). Saya memang menunggu hingga perlawanan ini untuk menebus kehampaan kerana tidak beraksi di Piala Master di Shanghai."
Federer, juara beregu Olimpik 2008 kemudian bergandingan dengan Bjorn Borg dari Sweden untuk menentang Blake dan John McEnroe. Pasangan Amerika itu menang 7-5 dalam tempoh 41 minit.
Terdahulu dalam perlawanan perseorangan pertama sesama legenda itu, McEnroe menewaskan Borg yang juga penyandang lima gelaran Wimbledon menerusi tie-break 7-6 (13-11) selepas bertarung selama sejam dua minit.
Namun seperti pertarungan silam mereka sama ada di Wimbledon atau Terbuka Amerika Syarikat, McEnroe tidak lupa mengembalikan adegan 'budak nakalnya' di hamparan gelanggang Stadium Putra, Bukit Jalil yang bernilai RM360,000 dan diimport dari Perancis.
Sesekali pemain kidal kelahiran Wiesbaden, Jerman itu mempersoalkan keputusan pengadil, menyakat budak pemungut bola dan penonton malah 'bercakap' dengan jaring selepas pukulan Borg terkandas.
Malah, McEnroe, sempat menunjukkan gelagat melucukan dengan melompat papan iklan semata-mata untuk menyambut pulangan pukulan lawan di depan jaring.
Paling menarik dia turut menghempaskan reket tenisnya dua kali ke lantai setelah gagal memulangkan pukulan Borg yang pernah ditewaskannya dalam tiga pertemuan terakhir mereka, tahun yang sama.
Borg, juara Wimbledon lima kali yang meliputi 11 gelaran Grand Slam pula kekal dengan ketenangannya malah mampu menyembunyikan perasaan ketika menjawab setiap pukulan lawan selain mempamerkan kekuatan pukulan sama ada secara mendepan atau kilasan.
Utusan 19 Nov 2008
Comments
Post a Comment