Shahidan belum umum pertahan jawatan, timbalan dakwa ada sokongan
KETIKA Presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM), Datuk Seri Shahidan Kassim masih belum menyatakan hasrat sama ada mempertahankan jawatannya ataupun tidak pada pemilihan bulan depan, namun timbalannya, Karim Ibrahim lebih awal tampil menyokong ketuanya itu.
Malah, Karim tampak bertindak sebagai jurucakap Shahidan, menyatakan bekas Menteri Besar Perlis itu akan mempertahankan jawatannya dan sudah pun mendapat enam sokongan lisan daripada ahli gabungan walaupun pencalonan secara rasmi belum diterima ibu pejabat KOAM.
Namun, Karim menafikan tindakannya itu menunjukkan wujud kebimbangan pada pihaknya kemungkinan Shahidan akan dicabar, sebaliknya membuktikan sokongan daripada ahli gabungan yang gembira dengan kepimpinan Shahidan.
"Setakat ini, enam ahli gabungan sudah melahirkan sokongan kepada Shahidan untuk mempertahankan jawatannya," kata Karim. "Mereka menyatakan sokongan awal dan akan menyusul dengan pencalonan secara rasmi kepada KOAM sebelum tarikh tutup pada 5 Disember.
Enam ahli gabungan yang didakwa sudah menyatakan sokongan itu ialah Pahang, Perlis, Johor, Sabah, Kelantan dan Melaka.
"Walaupun Presiden belum membuat kenyataan rasmi, saya pasti lebih ramai ahli gabungan akan tampil menyokong pencalonan Shahidan.
"Tindakan saya ini bukannya kerana bimbang akan berlaku perebutan jawatan presiden, sebaliknya untuk memaklumkan bahawa kebanyakan ahli gabungan bersedia mencalonkan Shahidan semula." katanya.
KOAM akan mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) pada 14 Disember ini dengan jawatan presiden dan dua naib presiden akan dipertandingkan, di sebalik permintaan beberapa ahli gabungan supaya pemilihan ditangguhkan sehingga pindaan perlembagaan badan induk ini diluluskan oleh Pejabat Pesuruhjaya Sukan.
Difahamkan beberapa ahli gabungan berhasrat untuk mencalonkan wakil mereka untuk mencabar beberapa jawatan penting dalam KOAM kerana tidak puas hati dengan kepimpinan badan induk itu yang dilihat dikendalikan oleh dua pegawai tertinggi saja.
"Sesiapa pun boleh bertanding asalkan mendapat pencalonan," kata Karim. "Memang saya ada mendengar ada satu dua ahli gabungan mahu mencalonkan orang lain untuk jawatan presiden."
Berita Harian
Comments
Post a Comment