PRESIDEN Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM), Datuk Seri Shahidan Kassim akan mempertahankan jawatannya pada mesyuarat agung tahunan persatuan itu bulan depan.
Bekas Menteri Besar Perlis itu berkata, dia masih berupaya memimpin persatuan itu walaupun ada pihak menunjukkan minat untuk merebut jawatan berkenaan.
Tanpa menyatakan calon yang berhasrat untuk merebut jawatan itu, dia menjelaskan bahawa perkara itu mungkin sukar dilakukan kerana mereka yang berhasrat masih berada di luar KOAM.
Bercakap kepada Bernama di Kangar semalam, Shahidan yang menerajui KOAM sejak 2006 berkata: "Timbalannya, Karim Ibrahim juga akan mempertahankan jawatan itu jika ada pertandingan.
"Kami telah membentuk gandingan mantap dan ini bermakna saya serasi dengan Karim. Oleh kerana kami serasi maka kami akan mempertahankan jawatan."
KOAM dijadualkan mengadakan mesyuarat agung tahunan pada 14 Disember ini dan pencalonan ditutup 5 Disember.
Shahidan berkata, KOAM adalah penyumbang pingat yang terbesar kepada kontinjen negara pada Sukan SEA edisi ke-24 di Korat, Thailand tahun lepas dan yakin akan terus memberi sumbangan besar kepada negara pada temasya yang sama di Laos pada tahun 2009.
Katanya, bagi memastikan persediaan rapi dan prestasi atlet berada dalam keadaan sempurna, KOAM memerlukan barisan kepimpinan yang mantap.
Shahidan berkata di bawah pindaan perlembagaan KOAM, semua jawatan akan dipertandingkan setiap tiga tahun.
Dalam perlembagaan KOAM sekarang, jawatan presiden dan dua naib presiden dipertandingkan setiap dua tahun manakala bagi jawatan timbalan presiden dan dua lagi naib presiden juga untuk tempoh sama tetapi ia bersilih ganti antara pemilihan jawatan presiden dan timbalan presiden.
Ini bermakna KOAM mengadakan pemilihan pucuk pemimpinnya setiap tahun.
"Pindaan perlembagaan ini akan memberi ruang kepada barisan pemimpin memberi perkhidmatan yang lebih sempurna," katanya. - Bernama'
Comments
Post a Comment