MERIAH.
Itu gambaran yang dapat disaksikan pada majlis penutup temasya Sukan Universiti Asean (SUA) XIV yang melabuhkan tirainya di di Stadium Putra, Bukit Jalil semalam.
Dengan disaksikan hampir 3,000 penonton yang rata-ratanya pelajar institut pengajian tinggi selain kontinjen terlibat, majlis gilang-gemilang ini ternyata memberi 1,001 pengertian buat mereka yang hadir.
Acara dimulakan dengan tarian kebudayaan sebelum upacara simbolik memadam obor temasya SUA XIV berlangsung.
Majlis diteruskan dengan nyanyian oleh Eja yang menyanyikan lagu tema SUA XIV, Menggapai Bintang.
Ia diikuti dengan penyerahan bendera kejohanan kepada Duta Thailand ke Malaysia, Piyawat Niyomreks oleh Timbalan Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Idris Haron berikutan Thailand bakal menjadi tuan rumah temasya SUA 2009.
Dalam pada itu, temasya kali ini bukan sahaja berjaya memupuk hubungan serta kerjasama antara negara-negara anggota Asean, malah ia memberi peluang kepada komuniti universiti untuk berintegrasi, berkomunikasi dan bekerjasama menerusi aktiviti-aktiviti sukan yang dijalankan.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, para atlet yang mengambil bahagian dalam temasya 11 hari itu bukan sahaja dilihat berjaya menunjukkan sikap positif dalam usaha meraih pingat, tetapi juga berjaya dalam menampilkan kecemerlangan sukan.
Beliau berkata, bagi Malaysia, SUA XIV adalah temasya yang amat sukar dilupakan apabila negara berjaya muncul sebagai juara keseluruhan dengan mengumpul 90 pingat emas 79 perak dan 47 gangsa.
Terdahulu, ucapan beliau dibacakan oleh Idris pada majlis penutup SUA XIV semalam.
Penyandang juara Vietnam, menduduki tempat kedua dengan pungutan 45 pingat emas, 28 perak dan 23 gangsa, diikuti dengan Thailand (32, 29, 59), Indonesia (28, 52,48), Singapura (18, 16, 39), Filipina (8, 12, 21), Laos (1, 2, 3), Timor Leste (1, 9, 9), Brunei (dua gangsa) dan Kemboja (satu perak).
Kontinjen Malaysia menurunkan 400 atlet dalam 22 acara sukan pada temasya kali ini.
SUA 2010 akan diadakan di Chengmai, Thailand yang bakal menampilkan 22 acara sukan, terdiri daripada olahraga, memanah, badminton, bola keranjang, bola tampar pantai, bola tampar, bola sepak, futsal, golf, hoki, karate, boling padang, bola jaring, silat, ragbi tujuh sebelah, sepak takraw, menembak, skuasy, renang, ping-pong, taekwondo dan boling.
Comments
Post a Comment