Sambil menyifatkan kejadian itu sebagai pengajaran berguna kepada semua pihak termasuk MSN sendiri, Setiausaha Eksekutif Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM), Mejar (B) Jasni Shaari, berharap MSN perlu lebih peka pada masa depan.
“MSN selaku penganjur seharusnya peka terhadap keperluan atlit daripada sukan tertentu ketika mereka menjalankan sebarang aktiviti termasuk program yang membabitkan fizikal, lebih-lebih lagi ke atas atlit pelapis yang baru berjinak dengan sukan,” katanya.
Beliau mengulas mengenai laporan dua atlit pelapis menembak, Elsa Chew, 16, dan Mohd Asnan Shamsuddin, 15, yang mengalami kecederaan ketika menjalani Kem Bakat Atlit Pelapis anjuran Cawangan Atlit Pelapis MSN.
Elsa dilaporkan disyaki mengalami retak di rusuk manakala Asnan dikatakan mengalami sedikit koyakan pada otot paha, selepas menjalani program asas bina semangat pada 16 Disember lalu.
Seorang lagi atlit, Mohd Aiman Hashim, 14, dari sukan memanah dilaporkan mengalami keretakan pada tulang lengan selepas terjatuh dalam satu lagi insiden pada 14 Disember lalu dan sudah dibenar pulang ke rumahnya di Terengganu.
Pegawai Perhubungan Awam MSN, Fahmi Omar ketika mengesahkan kejadian itu, berkata insiden berkenaan jelas satu kemalangan dan bukan berpunca daripada kecuaian atau akibat daripada kecacatan program yang dijalankan.
“Umpamanya dalam kejadian membabitkan Aiman, dia tiba-tiba tergelincir lalu terjatuh ketika program baru hendak dimulakan. Ini suatu kemalangan meskipun kita sudah mengambil pelbagai langkah pencegahan bagi mengelak perkara ini daripada berlaku,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Cawangan Pelapis, Jefri Ngadirin, berkata pihaknya sentiasa bertanya kepada atlit mengenai keadaan kesihatan mereka sebelum sebarang program memastikan tiada masalah timbul.
BERITA HARIAN
Comments
Post a Comment