Emas Zatil ibarat pengubat luka
"PENGUBAT luka."
Demikian jelas pengurus skuad boling negara, Mohd. Fisol Saud selepas anak buahnya berjaya menambah koleksi pingat emas pada Sukan Universiti Asean (SUA) XIV semalam.
Kilauan emas itu telah dihadiahkan oleh atlet kebangsaan, Zatil Iman Abdul Ghani selepas dia mengungguli acara Masters Wanita dalam saingan yang berlangsung di Pyra- mid Megalanes, Petaling Jaya.
Pingat perak dan gangsa turut menjadi milik Malaysia, masing-masing menerusi Siti Siti Nur Syakilla Mardyanna Aminuddin dan Nor Syakira Yeoh.
"Kemenangan hari ini (semalam) seumpama pengubat luka. Mana tidaknya, sejak beberapa hari lalu, skuad negara berhempas pulas mahu menambah koleksi pingat emas, tetapi gagal.
"Lebih menarik, kita bukan sahaja meraih pingat emas acara Masters Wanita, malah pingat perak dan gangsa juga milik kita," kata Fisol kepada Kosmo! semalam.
Dalam pada itu, Zatil berkata, fokus penuh menjadi antara kunci utama kejayaannya meraih emas semalam.
"Saya tidak sangka saya berjaya membawa pulang pingat emas pada saat-saat akhir. Saya hanya sasar kelompok empat teratas hari ini (semalam).
"Saya tidak begitu tertekan dengan aksi hari ini (semalam) dan mungkin sebab itu, semuanya berjalan lancar," katanya.
Zatil berkata, dia amat gembira dengan kejayaannya semalam dan menganggap ia adalah berkat kesa- barannya sepanjang temasya itu berlangsung.
"Saya seorang yang tidak mudah mengaku kalah dan suka mengambil sikap positif tentang semua perkara.
"Saya tidak ambil tahu tentang apa yang berlaku di luar sana ketika saya sedang beraksi kerana ia akan mengganggu tumpuan saya," jelas Zatil.
Sementara itu, nasib berbeza menimpa pasukan lelaki negara apabila hanya merangkul pingat perak bagi acara Masters Lelaki menerusi Mohd. Zaim Zulfadzlie Said Mohd. Zain.
Pingat emas dan gangsa dimenangi Thailand masing-masing menerusi Sithiphol Kunarkson dan Badin Lerdpiriyasakulkit.
KOSMO
Comments
Post a Comment