DUA rekod kejohanan dan empat pingat emas diraih pada hari kedua acara olahraga Sukan Universiti Asean (SUA) XIV yang berlangsung di Stadium Nasional di Bukit Jalil, semalam.
Rekod kejohanan dicatatkan oleh Robani Hassan menerusi acara lari berpagar 110 meter dengan catatan 14.07 saat sekali gus mengatasi rekod lama 14.08s.
Rekod kedua kejohanan dicatatkan oleh atlet lompat bergalah lelaki negara, Mohd. Hafizuddin Sahadan yang melepasi ketinggian 4.60 meter sekali gus menggenggam pingat emas.
Dia berjaya mengatasi rekod lama 4.40 meter.
Pingat emas ketiga negara semalam diraih menerusi acara lontar peluru wanita oleh pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Asik Asrenny yang berjaya mencatatkan 13.10 meter.
Emas keempat disumbangkan oleh Abdul Halim Yatim menerusi acara baling tukul besi lelaki dengan catatan 40.31 meter.
Sementara itu, empat pingat perak dimenangi oleh Nicholas Linus menerusi acara merejam lembing, diikuti Azizah Ibrahim menerusi acara 100m lari berpagar wanita, kuartet 4x100 meter lelaki dan juga menerusi kuartet 4x100 meter wanita.
Pingat gangsa pula dimenangi oleh Rahilah Othman menerusi acara baling tukul besi wanita.
Ketika ditemui, Mohd. Hafizuddin berkata meskipun berjaya meraih pingat emas, dia tetap kecewa kerana gagal dengan sasarannya untuk memperbaiki rekod peribadinya iaitu 4.70 meter yang dilakukan pada Kejohanan Sekolah Sukan Asean di Thailand dua tahun lalu.
"Kegagalan saya memperbaiki rekod peribadi mungkin disebabkan tidak cukup latihan. Saya hanya menyertai latihan beberapa bulan lalu bagi menghadapi temasya ini," katanya.
Comments
Post a Comment