SKUAD menembak negara berjaya memenangi empat pingat emas pada hari ketiga acara menembak Sukan Universiti Asean (SUA) XXIV di Lapang Sasar Kebangsaan, Subang semalam.
Empat emas itu diperoleh bagi kategori 50 meter rifle prone individu dan berpasukan lelaki serta 25m standard pistol individu dan berpasukan lelaki.
Semalam, bidikan Ahmad Zhafri Zamil membantu skuad negara meraih pingat emas kategori 25m standard pistol individu lelaki dengan mengumpul 532 mata.
Pingat perak dan gangsa bagi acara tersebut diraih penembak negara, Hafiz Adzha dan Mohd. Syawal Othman selepas masing-masing mengutip 526 dan 509 mata.
"Saya tidak sangka dapat mengumpul lima pingat emas sejak acara menembak bermula pada Selasa dan akan berusaha untuk melakukan yang terbaik," kata Ahmad Zhafri semalam.
Kutipan pingat emas kedua negara diperoleh dalam acara 50m rifle prone individu lelaki menerusi Ahmad Aqqad Yahya Arif yang berjaya mengumpul 686.3 mata.
Pingat perak dan gangsa pula menjadi milik penembak Thailand, Tharayut Sriworrakulwong dan Porapon Worayuttakarn dengan masing-masing mengutip 679.6 dan 673.3 mata.
Dalam saingan akhir acara 25 standard pistol berpasukan lelaki, skuad menembak negara menang tanpa cabaran dengan kutipan 1,567 mata menerusi gandingan Ahmad Zhafri, Hafiz dan Mohd. Syawal dengan masing-masing mengutip 532, 526 dan 509 mata.
Pingat emas keempat negara diperoleh menerusi kategori 50m rifle prone berpasukan lelaki yang mengutip 1,730 mata hasil gandingan mantap Ahmad Aqqad, Michael Yang Chang Huei dan Azlan Johari dengan masing-masing berjaya mengutip 586, 573 dan 571 mata.
Pingat perak bagi kategori tersebut menjadi milik Thailand dengan pungutan 1,726 mata.
KOSMO
Comments
Post a Comment