baru tahun depan.
DEMI menjaga hati semua pihak terlibat, Persekutuan Hoki Malaysia (PHM) belum bersedia mengumumkan nama jurulatih baru skuad negara.
Sebaliknya, PHM akan mengumumkan nama jurulatih skuad negara Januari ini selepas beberapa calon dari luar negara dikenal pasti.
Presiden PHM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, jurulatih dari beberapa negara Asia, Eropah dan Australia sudah dikenal pasti untuk memikul tanggungjawab mengembalikan kegemilangan yang pernah dikecapi skuad hoki negara sebelum ini.
Tengku Abdullah berkata, perbincangan bagi mendapatkan khidmat jurulatih berkenaan sudah dibuat, namun keputusan muktamad mengenainya akan hanya diumumkan Januari nanti.
Menurutnya ketika ini PHM tidak dapat mengesahkan nama-nama jurulatih kerana mahu menjaga hati persekutuan hoki negara berkenaan memandangkan ia tertakluk kepada kontrak.
"Saya tidak dapat mengumumkannya buat masa ini kerana jurulatih berkenaan masih terikat dengan kontrak. Setakat ini, ada tiga nama jurulatih import dalam senarai," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Konvensyen Falak Negeri Pahang di Kuantan semalam.
Terdahulu, khidmat jurulatih Sarjit Singh tidak dilanjutkan selepas kontraknya berakhir 31 Disember ini.
Sebelum ini Tengku Abdullah pernah dilaporkan tidak menolak kemungkinan mendapatkan khidmat jurulatih import dari Eropah bagi menggantikan Sarjit.
Skuad negara pernah mendapatkan kepakaran dari Jerman menerusi jurulatih Paul Lissek hingga membolehkan mereka muncul sebagai pasukan yang digeruni.
Mengenai persiapan menganjurkan Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja 2009 di Johor, Jun tahun depan, Tengku Abdullah berkata, setakat ini, segala urusan berkaitan padang telah selesai.
"Padang hoki kedua dijangka siap pada bulan Mac nanti selepas mendapat perhatian dan kerjasama daripada Kementerian Belia dan Sukan dan Kerajaan Johor dan saya harap segala yang dirancang berjalan lancar," titahnya.
Comments
Post a Comment