SKUAD Karate negara hanya meraih satu pingat emas daripada enam yang ditawarkan pada hari kedua acara karate yang berlangsung di Dewan Canselor Tun Abdul Razak UKM, Bangi semalam.
Pingat emas negara diraih oleh L. Kunasilan dalam acara kumite lelaki 55kg selepas menewaskan atlet Vietnam, Huu Dien Tran.
Kontinjen karate negara juga meraih dua pingat perak menerusi Chan Keng Ann daripada acara kumite lelaki 60kg dan Nagatheeban Govindasamy (kumite lelaki 70kg).
Pengurus pasukan, Chong Kong Yu berkata, dia tidak berpuas hati kerana skuad karate negara gagal melepasi sasaran tiga pingat emas pada hari kedua acara karate dilangsungkan.
Menurutnya, semua atlet telah melakukan yang terbaik namun gagal mengekang atlet Indonesia dan Vietnam.
"Esok (hari ini) saya juga meletakkan sasaran tiga pingat emas daripada tujuh yang ditawarkan dan berharap kami mampu melakukannya," katanya.
Setakat ini skuad karate negara sudah meraih empat pingat emas, lima pingat perak, dua gangsa selepas dua hari bersaingan dalam acara.
Sementara itu dalam acara memanah, kontinjen negara menjulang dua emas dalam acara recurve dan compound individu.
Izzudin Abd. Rahim muncul wira negara setelah meraih pingat emas dalam acara recurve individu lelaki sementara Saritha Cham Nong melakukannya dalam acara compound individu wanita.
Atlet kebangsaan, Izzudin berjaya mengetepikan rakan senegara yang juga atlet kebangsaan, Nazrin Aizad Mat Nasir 107-106 sementara Saritha menang dengan jumlah mata 111-104 menewaskan rakan sepasukan, Norhayati Almadihah Hashim.
Comments
Post a Comment