GELANGGANG olahraga agak suram semalam.
Kontinjen negara sekadar meraih dua pingat perak dan satu gangsa pada hari ketiga acara olahraga Sukan Universiti Asean (SUA) XIV yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.
Dua pingat perak itu hadir menerusi Nurul Huda Mohd. Akhir dalam acara merejam lembing wanita dengan rejaman sejauh 39.66 meter.
Ganthi Mathi pula melakukannya dalam acara 800 meter wanita selepas dia mencatat masa 2 minit 12.23s.
Pingat gangsa negara pula diraih oleh S. Mathialagan dalam acara 800 meter lelaki dengan catatan masa 1:57.53s.
Pengurus kontinjen olahraga negara, Mohd. Firdaus Abdullah berkata dia agak kecewa kerana atlet negara gagal meraih sebarang pingat emas meskipun sasaran semalam ialah untuk menggenggam sekurang-kurangnya satu daripada lapan emas yang ditawarkan.
Begitupun, biar pun gagal meraih sebarang emas semalam, Firdaus tetap menaruh keyakinan kepada skuad olahraga negara untuk mencapai misi meraih 11 pingat emas seperti yang disasarkan sebelum ini.
Menurutnya, dia yakin atlet negara mampu meraih tiga lagi pingat emas menerusi acara lompat bergalah wanita, 4x400m lelaki dan wanita yang bakal berlangsung hari ini.
"Saya masih yakin bahawa kami mampu mencapai sasaran 11 pingat emas yang telah ditetapkan sebelum ini," katanya.
"Biarpun kita gagal meraih sebarang emas hari ini (semalam), ia sedikit pun tidak mematahkan semangat atlet lain untuk bersaing dalam acara masing-masing selepas ini.
"Apa pun saya rasa kami akan bangkit esok (hari ini) kerana kita mempunyai peluang cerah dalam tiga acara iaitu lompat bergalah wanita, 4x400m lelaki dan 4x400m wanita."
Kelmarin, atlet olahraga negara berjaya mencatat dua rekod kejohanan yang menyaksikan mereka memenangi empat pingat emas.
Skuad olahraga setakat ini meraih tujuh pingat emas, 11 perak dan tiga gangsa.
Comments
Post a Comment