| |
| ANUAR mahu mencipta kejutan pada Kejohanan Lumba Basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2009 Februari depan. |
RAJA pecut negara, Anuar Manan memiliki dua misi pada Kejohanan Lumba Basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2009 yang dijadualkan berlangsung pada 9 hingga 15 Februari depan.
Misi pertamanya ialah untuk mengharumkan nama negara menerusi penyertaan sulung bersama skuad kebangsaan pada perlumbaan berprestij itu.
Keduanya, pelumba kelahiran Kuala Ibai, Terengganu itu mahu memperbaiki pencapaian pada perlumbaan LTdL 2008 lalu.
Pada perlumbaan itu, Anuar mencipta sejarah apabila menjadi pelumba tempatan pertama berjaya menyarung jersi Raja Pecut pada perlumbaan peringkat ketiga dan keempat.
"Harapan saya sekarang ialah untuk mengatasi pencapaian saya pada LTdL 2008 setelah hanya menyarung jersi Raja Pecut pada dua peringkat sahaja," katanya.
Pelumba berusia 22 tahun itu kini giat menjalani latihan di bawah kendalian jurulatih, Jamaludin Omar dan mereka baru pulang daripada menyertai perlumbaan Jelajah Hainan dan Jelajah Indonesia bulan lalu.
Menurut Anuar, dia kini sudah mula dapat menyesuaikan diri dengan beberapa pelumba lain dalam skuad kebangsaan selepas bersama mereka sejak sebulan lalu.
"Saya dan Ahmad Haidar Anuawar masih bersama dan kini sudah mula membiasakan diri dengan pelumba lain," katanya.
Mengenai perlumbaan Jelajah Hainan, Anuar berkata dia gagal menghabiskan saingan setelah terjatuh pada peringkat pertama.
"Namun saya berjaya mengubat kekecewaan apabila berjaya menyarung jersi Raja Pecut pada perlumbaan itu yang mempertandingkan 12 peringkat," katanya.
Pada perlumbaan Jelajah Indonesia 23 November itu, Anuar berjaya mengumpul 21 mata menerusi kategori pecut setelah mengatasi pelumba dari pasukan Bintang Kranggan, Indonesia, Nugroho Kisnato yang menduduki tempat kedua dengan hanya 15 mata.
Sebelum ini, Anuar berjaya memenangi gelaran Raja Pecut pada Jelajah Malaysia 2007 dan 2008 serta Tour de East Java 2008.
Sementara itu Pengerusi Eksekutif LTdL, Abu Samah Abd. Wahab berkata dia berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan oleh Anuar setakat ini dalam skuad kebangsaan.
Abu Samah yang juga Presiden PKBM berharap Anuar serta pelumba lain dalam skuad kebangsaan mampu mencipta kejayaan pada LTdL 2009.
LTdL 2009 hanya akan mempertandingkan tujuh peringkat perlumbaan.
Perlumbaan yang diberikan status Hors itu dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).
Kosmo!
Comments
Post a Comment