Skip to main content

Pembunuh bola sepak negara


RAJA AHMAD ZAINUDDIN meraikan kejayaan Perak muncul juara Piala Malaysia edisi 1998 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.



GEJALA rasuah kembali menular dalam sukan bola sepak negara?
Itu persoalan utama yang kembali diperdebatkan di kalangan pemerhati serta peminat sukan No. 1 negara itu.

Andai benar seperti apa yang didedahkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) baru-baru ini bahawa gejala rasuah kembali 'menghiasi' bola sepak tanah air, satu tindakan pro-aktif harus dilaksanakan bagi mengelakkan ia menjadi 'barah' sehingga melumpuhkan perkembangan sukan No. 1 negara itu.

Jika diimbas kembali, negara pernah digemparkan dengan skandal rasuah pada tahun 1994 dan 1995. Ketika itu, lebih 100 pemain serta jurulatih yang disyaki mengatur keputusan perlawanan Piala Malaysia dan Liga Perdana ditahan pihak berkuasa untuk disoal siasat.

Hasilnya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengenakan hukuman di bawah Akta Kediaman Terhad terhadap 26 pemain yang menyaksikan mereka dibuang daerah manakala Lembaga Disiplin FAM pula menggantung penyertaan antara satu hingga lima tahun terhadap 57 pemain serta seorang penolong jurulatih.

Namun, timbul tanda tanya siapa dan bagaimana skandal ini boleh didedahkan?

Harus diakui bahawa rasuah sememangnya jenayah paling sukar dibanteras kerana pelakunya susah untuk dibuktikan berbanding kegiatan mencuri, merompak, merogol mahupun membunuh.

"Saya orang pertama yang membuat laporan polis berhubung gejala rasuah dalam bola sepak yang berlaku sekitar tahun 1994 dan 1995 di negara ini."

Demikian pengakuan bekas Setiausaha Agung FAM, Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad yang ketika itu menjawat jawatan sebagai Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP).


AINI (kanan) serta bekas jurulatih, Ken Worden dianggap arkitek kejayaan Selangor sekitar tahun 1990-an.


Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, gejala rasuah ini mula didedahkan apabila beliau hadir menyaksikan perlawanan yang membabitkan Pulau Pinang di Stadium Bandaraya.

"Apabila saya masuk ke stadium, ada beberapa penonton yang sudah beritahu saya keputusan sebelum perlawanan berlangsung. Kebiasaannya mereka ini (penonton) hanya menunjukkan dengan jari keputusan perlawanan pada hari berkenaan, tidak kira pasukan mana yang menang, Pulau Pinang mahupun pihak lawan.

"Pada mulanya, saya tidak begitu ambil peduli kerana menganggap ini semua asam garam bola sepak kerana kerenah penonton macam-macam boleh dilihat.

"Bagaimanapun, saya mula mempercayai mereka kerana apa yang dikatakan mereka memang benar-benar berlaku. Paling mengejutkan saya apabila mereka sudah tahu lebih awal mana-mana pemain yang dikenakan kad merah atau kad kuning," jelas Ibrahim kepada Kosmo! baru-baru ini.

Ibrahim menambah, ekoran situasi tersebut, dia melakukan siasatan sendiri kerana mengesyaki terdapat beberapa pemain skuad Harimau Kumbang itu terlibat dengan gejala rasuah.

"Saya sudah tidak tahan melihatkan masalah ini dan ketika itu, saya benar-benar kecewa dan marah selepas mendapati ada pemain yang terlibat dengan gejala rasuah. Selepas bertungkus-lumus mencari wang untuk membayar gaji pemain, tetapi inilah yang terjadi.

"Akhirnya, kami (FAP) membuat keputusan untuk melaporkan masalah ini kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) untuk melakukan siasatan lanjut.

"Bermula dari saat itu, pemain yang disyaki terlibat dengan rasuah telah disoal siasat oleh BPR sehingga mereka yang didapati bersalah dikenakan hukuman.

"Saya boleh katakan hampir seluruh skuad Pulau Pinang terlibat dengan gejala tidak bermoral itu," kata Ibrahim yang pernah menyandang jawatan selaku Naib Presiden FAM sebelum dilantik sebagai Setiausaha Agung FAM.

Jelas Ibrahim, disebabkan pendedahannya itu, satu demi satu pasukan yang beraksi dalam kancah Liga Perdana turut menerima tempiasnya.

"Mungkin ketika itu kali pertama gejala rasuah didedahkan, sebab itu 'pecah' satu Malaysia. Dari situ, terbongkar semua rahsia, hampir seluruh pasukan di Malaysia didakwa terlibat dengan rasuah.

"Selepas kes di Pulau Pinang, apa yang saya ketahui, BPR serta pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) melancarkan siasatan secara besar-besaran sehingga tertangkapnya lebih 100 pemain serta jurulatih yang didakwa mengatur perlawanan," ujar Ibrahim.


AHMAD SHAHRUL AZHAR menerima Piala Malaysia daripada bekas Yang di-Pertuan Agong, Almarhum Sultan Salahhuddin Abdul Aziz Shah selepas Perak ditabalkan juara Piala Malaysia musim 2000.


Sementara itu, antara individu yang pernah 'menderita' akibat gejala tidak bermoral ini ialah bekas pengurus pasukan Perak, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar.

Ketika isu rasuah ini timbul pada pertengahan tahun 1990-an, beliau baru sahaja kembali mengurus skuad Seladang selepas tamat tempoh penggantungannya ekoran salah laku disiplin.

"Tugas saya ketika itu amat berat. Bagaimanapun, saya tidak mudah menyerah kalah. Boleh dikatakan saya hilang hampir seluruh pemain utama akibat rasuah.

"Disebabkan itu, saya terpaksa mencari pemain baru serta muda untuk diketengahkan. Dari situlah lahir nama-nama seperti Ahmad Shahrul Azhar, Syamsol Saad, Shamsul Akmar Japeri dan beberapa pemain muda berbakat," jelas Raja Ahmad.

Mengulas mengenai gejala rasuah yang berlaku ketika itu, Raja Ahmad berkata, pada mulanya dia agak terkejut dengan laporan yang mengatakan beberapa tonggak utama Perak terlibat.

"Sudah pasti kita tidak sangka akan berlaku hal ini. Setahu saya, masalah gaji ketika itu tidak pernah timbul dan pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) sentiasa melunaskan janji-janji mereka kepada pemain..

"Mungkin keadaan sekeliling yang menyebabkan pemain ini terlibat dengan rasuah. Mungkin juga ada pemain yang terlalu mengejar kemewahan sehingga mereka lupa tanggungjawab sebagai seorang pemain.

"Sekali imbas, bukan sebab masalah taraf hidup (pemain terlibat dengan rasuah), tetapi mereka ini tamak. Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal, siapa yang mahu menolak jika imbuhan itu besar. Tambahan pula pemain berkenaan benar-benar memerlukan duit," kata Raja Ahmad Zainuddin.


PENYOKONG bola sepak tempatan sentiasa berdiri teguh di belakang pasukan kesayangan mereka.


Bekas Naib Presiden FAM itu menambah, skuad Perak memerlukan tempoh tiga tahun untuk kembali bangkit menjadi antara pasukan paling disegani selepas ditimpa 'malapetaka' tersebut.

"Selepas tiga tahun, Perak kembali muncul antara kuasa bola sepak tempatan. Buktinya, Perak berjaya muncul juara Piala Malaysia pada tahun 1998 hasil bimbingan jurulatih Karl-Heinz Weigang," jelas Raja Ahmad Zainuddin.

Bagi menangani gejala rasuah daripada terus berleluasa, Raja Ahmad Zainuddin berkata, pihak pengurusan setiap pasukan harus mengambil inisiatif tersendiri dalam memberi tunjuk ajar serta motivasi kepada pemain serta pegawainya.

"Bola sepak adalah sukan No. 1 di negara ini dan mempunyai ramai pengikut, tetapi sukan ini dan karier pemain boleh hancur andainya mereka gagal mendisiplinkan diri.

"Bekerjasama dengan pihak berkuasa adalah langkah terbaik bagi membanteras gejala rasuah dan jangan memberi sebarang alasan jika ada yang terjebak dengan kegiatan tidak bermoral itu kerana rasuah tidak menjamin seseorang itu menjadi kaya melainkan usaha gigih sendiri," kata beliau.

Turut menceritakan pengalaman dahsyat yang pernah dialami ekoran skandal rasuah ini ialah bekas pengurus pasukan Selangor, Datuk Mohd. Aini Taib.

Aini berkata, skuad Gergasi Merah lumpuh seketika selepas enam pemainnya didapati bersalah terlibat dengan gejala tidak bermaruah itu.

"Apa yang kita hendak buat lagi apabila pemain yang diberi kepercayaan sanggup melakukan kesalahan sedemikian rupa. Ia satu berita yang menyedihkan kerana Selangor yang cukup gah di persada bola sepak tempatan turut dibelenggu dengan gejala rasuah.

"Pada mulanya, saya agak sangsi dengan laporan yang mengatakan pemain Selangor terlibat dengan rasuah. Namun saya mula dapati ada sesuatu yang tidak betul berlaku melihatkan beberapa keputusan perlawanan.

"Sebagai contoh, pada perlawanan separuh akhir Piala FA ketika Selangor menentang Kuala Lumpur, sekalipun selesa mendahului 2-0 pada babak pertama, kami terpaksa pulang dengan kosong apabila tewas 2-4.

"Trend itu saya lihat berlaku pada perlawanan-perlawanan tertentu. Apabila trend itu sudah ada dan saya mula syak ada sesuatu yang tidak kena, saya mula buat siasatan sendiri.

"Saya lantik dua pegawai penyiasat yang juga bekas anggota polis untuk memantau setiap gerak-geri pemain yang disyaki. Akhirnya memang benar pemain yang disyaki ini terlibat dengan rasuah," jelas Aini yang pernah memegang jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).


SELANGOR merupakan pasukan yang cukup disegani dalam kancah bola sepak tempatan.


Pastinya, pendedahan yang dibuat oleh tiga individu ini (Ibrahim, Raja Ahmad Zainuddin dan Aini) yang pernah terlibat secara langsung dalam menangani gejala rasuah perlu diambil perhatian serta pertimbangan yang sewajarnya oleh pihak berwajib.

Sesungguhnya gejala rasuah yang dikatakan kembali menular dalam kancah bola sepak tempatan, tidak boleh dipandang ringan serta perlu dibanteras segera dengan kerjasama semua pihak.

Sebagaimana yang telah dititahkan Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah: "Saya tidak mahu gejala rasuah ini menjadi barah dalam industri bola sepak kita."

Justeru, satu metodologi terbaik harus diusahakan segera oleh tiga pihak berkenaan (FAM, BPR serta PDRM) bagi menangani skandal rasuah ini yang jika tidak dibendung dengan serius, dibimbangi mampu meruntuhkan institusi bola sepak tanah air.



Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

Ex-coach's jail sentence cut to a year

PUTRAJAYA: The Court of Appeal yesterday sentenced former athletics coach C. Ramanathan to 12 months' jail for molesting two junior athletes 19 years ago. A three-man bench led by Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus unanimously dismissed Ramanathan's appeal against conviction, but varied the jail sentence of four years to a year, which was to run concurrently. Following yesterday's ruling, Ramanathan, 75, a former teacher, walked out a free man as he had served 10 months in Kajang Prison. Convicts get one-third remission for good behaviour while in prison. However, he will lose his pension. Hishamudin, who sat with Datuk Abdul Wahab Patail and Datuk Linton Albert, said the court found no merit to overturn the conviction. "However, in reducing the sentence, we considered Ramanathan's age and the long years the appeal has taken." Deputy public prosecutor Awang Armadajaya Awang Mahmud submitted that then High Court judge Tan Sri Abdull Hamid E...

Badminton: Fans rooting for all-Malaysian semis

Reports: RAJES PAUL KUALA LUMPUR: The home fans will be rooting for an all-Malaysian men’s singles semi-final between Lee Chong Wei and Liew Daren. But Chong Wei is more fancied to advance than Daren in quarter-final matches against Indonesian Simon Santoso and Dane Peter Gade-Christensen respectively at the Putra Stadium in Bukit Jalil today. Yesterday, Chong Wei defeated Vietnamese Nguyen Tien Minh 21-9, 18-21, 21-7 in a second-round match that saw the world number one struggling to adapt to the draught in the stadium in the second game. And Daren continued a fairy tale run in his home Open, blowing away a toothless Hsueh Hsuan-yi of Taiwan 21-14, 21-12. Although Choong Wei had to slog for the win over Tien Minh, the top seed and defending champion felt that he was playing better by the day. “I got off to a good start but found it hard to cope with the draught. I tried to catch up after losing my momentum but that did not happen and I decided to conserve energy for ...

Rajagobal Let Off The Hook

PETALING JAYA, April 24 (Bernama) -- National head coach Datuk K. Rajagobal was let off the hook by the Football Association of Malaysia's (FAM) Disciplinary Committee after finding no evidence that he had violated FAM's Article 88, as claimed. FAM Disciplinary Committee chairman Datuk Taufik Abdul Razak said the committee had decided not to charge Rajagobal after carefully analysing the video of the post-match press conference by the 56-year-old coach. "After listening to the recording of the post-match press conference, we decided to drop the charge against Rajagopal as he did not make such a statement. "Maybe his (Rajagobal) assessment and comments of the match was misconstrued by the media. There was no mention of the FAM policy throughout his comments," said Taufik after emerging from a three-hour Disciplinary Committee meeting at Wisma FAM in Kelana Jaya, here, Wednesday. Rajagobal who does not mince his words when asked to com...