PENEMBAK negara mendominasi saingan hari ketujuh acara menembak pada temasya Sukan Universiti Asean (SUA) XIV yang berlangsung di Lapang Sasar Negara, Subang semalam.
Mereka meraih tiga pingat emas menerusi acara 25 meter Rapid Fire Pistol individu dan berpasukan lelaki serta acara 50 meter Raifal Prone wanita.
Penembak kebangsaan, Hafiz Adzha menghadiahkan emas pertama acara apabila menjuarai acara 25m Rapid Fire Pistol lelaki individu setelah mengumpul 563 mata mengatasi rakan senegara, Mohd. Syawal Othman yang mengutip 549 mata untuk pingat perak.
Pingat gangsa juga menjadi milik Malaysia menerusi Ahmad Zafri Ahmad yang mengumpul 489 mata.
Menurut Hafiz, saingan tersebut tidak memberi sebarang tekanan kepadanya kerana acara tersebut tidak disertai oleh kontinjen luar.
"Pertandingan hari ini (semalam) bagi saya tidak begitu sukar kerana tiada saingan daripada kontinjen lain. Saya juga sudah biasa menjalani latihan dengan Syawal dan Zafri. Jadi saya anggap saingan hari ini (semalam) seperti latihan sahaja.
"Apa pun, saya bangga kerana berjaya menyumbang pingat emas buat negara dan kemenangan ini secara tidak langsung menaikkan lagi semangat saya untuk menyertai Sukan SEA di Laos tahun depan," kata Hafiz kepada Kosmo! semalam.
Dalam pada itu, pingat emas kedua pula diraih skuad negara dalam acara berpasukan lelaki setelah tiada kontinjen yang mengambil bahagian dalam acara tersebut.
Pingat emas ketiga pula diperoleh menerusi acara berpasukan 50 meter rifle prone wanita yang dibarisi Nur'Ain Ibrahim, Mariani Rafali dan Shahera Rahim Raja selepas mengumpul 1,764 mata untuk menewaskan Thailand (1,749) dan Vietnam.
"Kami amat bersyukur kerana hari ini (semalam) semuanya berjalan lancar. Sasaran kami tepat.
"Kejayaan menewaskan Thailand adalah satu pencapaian yang amat membanggakan dan kami harap ia dapat menaikkan lagi semangat rakan lain untuk menghadiahkan pingat buat kontinjen negara," ujar Mariani.
Begitu pun, Malaysia gagal meraih pingat emas acara individu wanita apabila Mariani tewas kepada Sununta Majchacheep dari Thailand yang mengumpul 593 mata.
Rakan senegara Mariani, Nur'Ain terpaksa berpuas hati di kedudukan ketiga selepas mengumpul 588 mata.
"Saya telah cuba sedaya upaya namun nasib tidak menyebelahi saya. Saingan yang diberikan penembak Thailand cukup hebat," katanya.
Comments
Post a Comment