| |
| NAJIB... Saran bentuk Jawatankuasa Khas. |
JAWATANKUASA Kabinet Pembangunan Sukan semalam memutuskan pembentukan sebuah Jawatankuasa Khas bagi memantau perkembangan atlet bermula daripada peringkat prasekolah sehingga ke peringkat pengajian tinggi.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata anggota Jawatankuasa Khas itu terdiri daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Majlis Sukan Negara (MSN), Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang akan bergerak secara bersepadu dalam memastikan bahawa pembangunan atlet tidak terbantut pada satu-satu peringkat.
"Bagi atlet sukan berprestasi tinggi, ia adalah pendekatan yang amat sesuai dilakukan sebab kalau tidak ada bantuan secara bersepadu nanti, atlet-atlet kita tidak mungkin dapat berjaya ke peringkat yang lebih tinggi lagi.
"Sasaran program bersepadu ini ialah Sukan Olimpik London 2012, Sukan Asia Guangzhou 2010, Sukan Komanwel New Delhi 2010, Sukan SEA Laos 2009 dan Sukan SEA Jakarta 2011," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa berkenaan di Dewan Serbaguna di Bangunan Parlimen semalam.
Katanya, program latihan secara bersepadu bagi atlet berprestasi tinggi melibatkan 346 atlet elit, 5,344 atlet pelapis serta 18,500 atlet prestasi tinggi peringkat sekolah.
Katanya, keperluan daripada aspek kejurulatihan perlu diberi penekanan dalam melahirkan atlet-atlet elit.
"Ini satu cabang yang amat penting supaya program atlet elit ini disokong dengan bekalan jurulatih yang berwibawa. Untuk itu, kita akan menyediakan program untuk mengenal pasti jurulatih dan kemudian menyediakan skim persijilan supaya mereka mempunyai insentif untuk meningkatkan kemampuan masing-masing," katanya.
Najib berkata, penglibatan ibu bapa dalam memberi kebenaran dan melibatkan anak-anak mereka secara serius dalam bidang sukan sejak berusia bawah enam tahun perlu diberi penekanan.
"Peranan ibu bapa dalam membantu dan merangsang minat anak-anak mereka mencapai kejayaan dalam bidang sukan bermula sejak usia muda. Kalau kita ingin melihat ahli-ahli sukan bertaraf dunia, titik permulaannya ialah pada peringkat prasekolah lagi.
"Kita akan menggalakkan ibu bapa memainkan peranan dan ada cadangan untuk diadakan pertandingan sukan di peringkat prasekolah yang bertujuan mengenalpasti bakat-bakat yang boleh diasuh secara tersusun sehingga ke peringkat lebih tinggi," katanya.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembentukan Jawatankuasa Khas itu bertujuan memastikan perjalanan atlet tidak terhenti separuh jalan sahaja.
"Melalui jawatankuasa ini, kita dapat lihat perkembangan atlet secara berterusan daripada peringkat awal ke peringkat sekolah rendah, menengah dan seterusnya ke peringkat insitusi pengajian tinggi," katanya.
Bagi memastikan atlet mendapat latihan yang sempurna, Ismail Sabri berkata, guru-guru akan didedahkan dengan pengetahuan kejurulatihan daripada tahap pertama hingga ke tahap ketiga (tahap tertinggi sijil kejurulatihan).
Mengenai persiapan menghadapi Sukan Olimpik London 2012, dia berkata, tumpuan akan diberikan kepada hanya tiga acara iaitu badminton, memanah dan lumba basikal memandangkan Malaysia mempunyai pengalaman dan keupayaan untuk mendapat pingat dalam tiga sukan itu.
Katanya, berbanding persediaan menghadapi Sukan Olimpik sebelum ini, penekanan diberikan secara menyeluruh kepada semua jenis sukan.
"Kita mempunyai fokus mengenal pasti acara sukan yang mampu menjana pingat emas Sukan Olimpik," katanya.
Comments
Post a Comment