KUANTAN - Persekutuan Hoki Malaysia (PHM) sedang meneliti sekurang-kurangnya tiga nama jurulatih luar untuk dipilih bagi mengendalikan pasukan hoki kebangsaan.
Antara jurulatih yang sedang diteliti ialah dari Asia, Eropah dan Australia.
Presidennya, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, keputusan untuk memilih jurulatih hoki kebangsaan itu akan ditentukan pada mesyuarat persatuan itu awal bulan depan.
''Nama-nama ada dalam bayangan tetapi tidak boleh diumumkan lagi," kata Tengku Abdullah kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Falak di Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KIPSAS) di sini, semalam.
Hadir sama pada majlis itu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.
Mesyuarat PHM, baru-baru ini memutuskan untuk tidak memperbaharui kontrak Sarjit Singh yang pada asalnya mengendalikan skuad remaja kebangsaan.
Berikutan itu, nama jurulatih asing seperti Kim Sang-ryul, Barry Dancer dan Terry Walsh dicanang sebagai pengganti Sarjit yang pencapaian terbaiknya membawa skuad negara bergelar naib juara Piala Sultan Azlan Shah dan tempat ketiga Piala Asia tahun lalu tetapi gagal layak ke Sukan Olimpik, Ogos lalu.
Mengulas lanjut, Tengku Abdullah menjelaskan, nama-nama jurulatih tersebut tidak boleh diumumkan kerana mereka tertakluk dengan kontrak bersama pasukan masing-masing.
''Adalah tidak beretika jika kita menyebut nama-nama mereka sebagai jurulatih hoki kebangsaan kerana mungkin akan menimbulkan masalah dengan majikan mereka.
''Kita terpaksa menunggu pengesahan daripada majikan jurulatih terbabit sebelum boleh kita umumkan nama mereka," jelasnya.
Menurut Tengku Abdullah lagi, PHM memilih jurulatih luar sebagai pengendali pasukan hoki negara bertujuan meningkat kemahiran pemain terutama dari segi taktikal dan teknik latihan.
Dalam perkembangan berkaitan, Tengku Abdullah memberitahu, pihaknya setakat ini berpuas hati dengan perkembangan pembinaan padang kedua dan meningkatkan infrastruktur Stadium Hoki Majlis Bandar Raya Johor Bahru (MBJB) bagi penganjuran Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja 2009 yang dijadual berlangsung di Johor dan Singapura, Jun depan.
Menurutnya, kedua-dua lokasi pertandingan itu dijangka siap sepenuhnya pada Mac depan.
Comments
Post a Comment