DATUK Seri Shahidan Kassim terus diberikan mandat untuk menerajui Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) apabila menang tanpa bertanding jawatan nombor satu itu bagi pemilihan mesyuarat agung tahunan (AGM) ketujuh Ahad ini.
Shahidan yang mula memegang jawatan itu apabila menang pemilihan pada September 2006 mengalahkan Datuk Danyal Balagopal Abdullah, menerima 13 daripada 14 pencalonan dari ahli gabungan KOAM dengan Persatuan Olahraga Amatur Pulau Pinang tidak mengemukakan sebarang calon.
Namun, tumpuan kini terarah kepada jawatan naib presiden apabila empat calon akan merebut dua kerusi yang ditawarkan selepas semua kertas pencalonan dibuka semalam.
Mendahului senarai calon ialah Pengerusi Hal Ehwal Wanita KOAM, Datuk Paduka Mumtaz Jaafar yang menerima tujuh pencalonan diikuti penyandang, Rajemah Sheikh Ahmad.
Dua lagi nama dicalonkan ialah Setiausaha Persatuan Olahraga Amatur Perlis (POAPs), M Iyaru serta K Yogeswaran dari Selangor yang masing-masing menerima satu dan dua pencalonan.
"Semua negeri menghantar pencalonan dan pemilihan kali ini ialah bagi tiga jawatan utama iaitu Presiden, Naib Presiden serta dua ahli majlis eksekutif.
"Tetapi untuk jawatan Presiden, kami sebulat suara memberi sokongan kepada Shahidan dengan 99 peratus mencalonkan beliau sebagai Presiden," kata Timbalan Presiden KOAM, Karim Ibrahim.
Karim berkata, untuk jawatan Naib Presiden bagi AGM 2008-1010 ini, hanya ada pemilihan membabitkan Naib Presiden dikhaskan untuk wanita tetapi disebabkan ada satu kekosongan lagi, maka ia juga akan diadakan.
KOAM memiliki tiga Naib Presiden namun satu jawatan dikosongkan Karim yang menang jawatan Timbalan Presiden sebelum ini selain satu lagi disandang R Annamalai dari Pahang.
"Mengikut perlembagaan KOAM, mesti ada wanita dalam jawatan itu tetapi kali ini ada pertarungan dan jika dua calon wanita ini menang, mereka juga boleh mengisi kedua-dua kekosongan itu. Jika ada dua wanita yang menang, ia akan menjadi sejarah buat KOAM," katanya.
Saingan tiga penjuru bagi jawatan dua ahli lembaga eksekutif pula akan membabitkan S Chinathamby dan S Vegiyathuman, kedua-duanya penyandang jawatan selain muka baru, K Kaliana Sundram Nanthan.
BH
Comments
Post a Comment