Presiden MOM, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja'afar berkata, pihaknya begitu mengambil berat tentang keadaan ekonomi dunia yang boleh menjejaskan perkembangan sukan negara sepanjang tahun depan.
"Sebagai langkah berjimat cermat dan pengurusan yang telus, kedudukan kewangan MOM perlu diperkukuhkan. Dengan kelembapan ekonomi melanda seluruh dunia, MOM perlu berhati-hati dalam menubuhkan tabung amanah itu nanti.
"Ia sebagai langkah pertama dan keselamatan untuk menjamin keutuhan kewangan MOM pada masa depan," ujarnya.
Tunku Imran berkata demikian dalam perutusannya sempena Tahun Baru 2009, semalam.
Menurutnya, 2008 merupakan satu lagi tahun yang mencatatkan kejayaan bermakna kepada Malaysia amnya dan MOM khasnya.
Penganjuran Sukan Olimpik di Beijing, China memperlihatkan pencapaian yang membanggakan dicatat sukan badminton, berbasikal dan memanah.
Kejayaan pemain perseorangan badminton lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei meraih pingat perak menamatkan kemarau dalam dua temasya sebelumnya di Sydney (2000) dan Athens (2004).
Manakala pelumba trek negara, Mohd. Azizulhasni Awang dan Josiah Ng serta pasukan memanah mempamerkan aksi meyakinkan walaupun gagal membawa pulang pingat.
"Selain Sukan Olimpik, Malaysia juga beraksi baik dalam Sukan Komanwel Remaja Ke-3 di Pune, India dan Sukan Pantai Asia Pertama di Bali, Indonesia," katanya.
Sehubungan itu katanya, 2009 merupakan satu lagi tahun sibuk dan mencabar buat perkembangan sukan negara dan MOM.
Utusan
Comments
Post a Comment