TIGA rekod kebangsaan berjaya dilebur pada Kejohanan Angkat Berat Kebangsaan di Melaka yang berakhir semalam.
Ia dilakukan oleh tiga atlet kebangsaan, Naharudin Mahayudin bagi kategori 62kg, Nurul Farhana Johari bagi kategori 63kg dan Arishafara Catherine 75kg.
Naharudin berjaya melakukan catatan terbaik dengan angkatan 151kg bagi clean and jerk.
Catatan itu sekali gus mengatasi rekod lama (150kg) yang dicatat oleh Amirul Hamizan pada kejohanan yang sama di Pahang dua tahun lalu.
Bagi acara snatch, Naharudin melakukan angkatan 116kg untuk menjadikan jumlah keseluruhan 267kg.
Farhana pula yang mewakili ATM berjaya berjaya menjulang bebanan seberat 86kg bagi acara snatch sekali gus mengatasi rekod lama (85kg) miliknya sendiri.
Bagi acara clean and jerk pula dia berjaya mengangkat bebanan seberat 95kg untuk menjadikan jumlah keseluruhan 181kg.
Sementara itu, Arishafara Catherine yang bertanding bagi kategori 75kg melakukan catatan terbaik dengan angkatan 78kg untuk acara snatch sekali gus mengatasi rekod lama 73kg yang dilakukannya pada Sukan Malaysia (Sukma) 2008 di Terengganu.
Seramai 62 atlet dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak menyertai kejohanan dua hari itu yang berakhir semalam.
Naharudin berkata, dia tetap berpuas hati dengan pencapaian tersebut meskipun sekadar memperbaharui rekod bagi acara clean and jerk.
"Saya sepatutnya berjaya mengangkat 127kg bagi acara snatch tetapi gagal melakukan angkatan dengan sempurna.
"Bagaimanapun, saya tetap berpuas hati dengan pencapaian ini kerana walaupun menjalani latihan dalam masa yang agak singkat namun saya mampu memperbaharui rekod kebangsaan," katanya.
Sementara itu, Nurul Farhana berkata, dia tidak menjangka untuk memperbaharui rekod lama kerana tidak meletakkan sebarang sasaran pada kejohanan ini.
"Bagaimanapun, kejayaan mencatat rekod baru bagi acara 86kg sudah cukup bagus memandangkan ini adalah kejohanan terakhir yang saya sertai untuk tahun ini," katanya.
Comments
Post a Comment