bharian.com.my
AZIZULHASNI lakar sejarah pelumba pertama negara memenangi pingat emas acara keirin. |
Mahu ulangi kejutan pada Piala Dunia di Melbourne, November lalu
JAGUH muda negara, Azizulhasni Awang akan cuba untuk sekali lagi mencipta gemilang ketika dia dan rakan sepasukan sudah bersedia untuk menghadapi cabaran getir di Kejohanan Trek Piala Dunia di Beijing, China bermula Jumaat ini.
Dan tiada apa yang dimahukan pelumba yang genap berusia 21 tahun pada 5 Januari lalu itu selain sekali lagi bergelar juara seperti kejutan diciptanya pada Piala Dunia di Melbourne, November lalu.
Ketika itu, pelumba berasal dari Dungun, Terengganu itu melakar sejarah muncul pelumba pertama negara memenangi pingat emas acara keirin, sesuatu yang mengesahkan Malaysia sebagai antara pencabar utama pada kejohanan kali ini.
“Saya harap semuanya berjalan lancar ketika perlumbaan nanti, sasaran saya nak cuba dapatkan lagi emas dalam acara keirin, jika keadaan OK ketika perlumbaan,” katanya menerusi sistem khidmat pesanan ringkas dari Australia.
Pada Piala Dunia Melbourne, Azizulhasni mempamer kayuhan mantap sejak awal sebelum mengatasi lawan berpengalaman dari Ukraine, Andriy Vynokurov dan pendahulu keseluruhan Piala Dunia dari pasukan Cofidis, Francois Pervis.
Bagaimanapun, kelibat anak muda itu tidak dapat disaksikan pada Piala Dunia Pusingan 3 di Cali, Colombia pada 11-13 Disember disebabkan pasukan negara tidak menyertainya berikutan kos dan perjalanan yang jauh.
Dan selepas mempamer kayuhan bertenaga pada perlumbaan di Australia dan New Zealand, Azizulhasni menjelaskan dia kini sudah bersedia berdepan pencabarnya sekali lagi.
“Memang ramai pencabar pada Piala Dunia, saya masih tidak tahu siapa yang akan datang tetapi saya rasa di Beijing semua pelumba handalan akan hadir. Jika sebut Piala Dunia memang hebat saingannya,” katanya.
Katanya, dia dan pelumba lain di bawah kendalian ketua jurulatih John Beasley berlepas ke Beijing semalam dengan kejohanan penting di Beijing itu akan bermula Jumaat hingga Ahad.
Comments
Post a Comment