| |
| |
BEKAS pemain badminton No. 1 negara, Ong Ewe Hock (gambar) menyifatkan Datuk Lee Chong Wei sebagai pemain paling berkualiti pernah dilahirkan.
Pada masa yang sama, Ewe Hock mengakui bahawa pemain ranking pertama dunia itu memang layak untuk bergelar juara pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia yang berakhir Ahad lalu.
Pada kejohanan Super Series Dunia pertama itu, Chong Wei mudah menewaskan pemain Korea Selatan, Park Sung-hwan 21-14, 21-13 sekali gus mengulangi kejayaannya pada 2004, 2005, 2006 dan 2008.
"Saya dapat lihat perbezaan Chong Wei dengan mana-mana pemain lain," jelas Ewe Hock yang pernah muncul juara Terbuka Malaysia pada tahun 1996 dan 2001.
"Dia memiliki semangat yang cukup luar biasa dan jarang dimiliki mana-mana pemain terutamanya pemain Malaysia. Kekuatan itulah yang membezakan Chong Wei dengan yang lain."
Ewe Hock juga menjelaskan bahawa kejayaan Chong Wei meraih gelaran kelimanya pada Terbuka Malaysia itu adalah satu kejayaan yang memang sudah diduga.
"Dia memang layak untuk menang berdasarkan apa yang dibuktikannya selama ini.
"Kita dapat lihat kesungguhannya di atas gelanggang. Semua ini adalah kerana latihan serta kerja keras yang dia lakukan.
"Saya juga tidak nampak mana-mana pemain yang boleh menggugat kedudukan Chong Wei buat masa ini. Dia adalah pemain yang sangat konsisten," tambahnya.
Sementara itu, Ewe Hock yang juga bekas pemain ranking kedua dunia turut memuji aksi bertenaga yang dipamerkan pemain muda terutamanya Liew Daren.
"Daren miliki masa depan jika corak permainannya pada Terbuka Malaysia dijadikan ukuran.
"Kejayaan menewaskan pemain berpengalaman (Boonsak Ponsana dan Hsueh Hsuan Yi) pada kejohanan berprestij seperti Terbuka Malaysia adalah satu pencapaian yang membanggakan," tambah Ewe Hock.
KOSMO
Comments
Post a Comment