PASUKAN Garmin-Chipotle kembali dengan nama baru, Garmin-Slipstream Pro Cycling Team.
Kehadiran mereka akan menambahkan lagi saingan pada Kejohanan Lumba Basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2009 yang dijadualkan bermula pada 9 hingga 15 Februari ini.
Pasukan dari Amerika Syarikat itu adalah antara 19 pasukan yang akan menyerikan LTdL 2009.
Kali terakhir pasukan tersebut beraksi pada jelajah paling berprestij di Asia yang berstatus Hors itu ialah pada tahun 2007.
"Dua tahun lalu, kami adalah penganjur pertama yang mengundang Slipstream (yang kini dikenali sebagai Garmin-Slipstream) menyertai acara berstatus Hors ini kerana kami berpendapat pasukan ini mempunyai masa depan yang cerah dan kami gembira mereka berminat untuk kembali tahun ini.
"Kami gembira apabila Garmin-Slipstream kini diakui sebagai salah satu pasukan paling kompetitif di dunia khususnya pada perlumbaan Tour de France dan perlumbaan klasik utama," kata Ketua Pegawai Operasi LTdL 2009, Datuk Naim Mohamad.
Pasukan itu yang menduduki tempat kelima keseluruhan pada LTdL 2007 turut menyertai perlumbaan Tour of Qatar pada 1 hingga 6 Februari ini.
Naim berkata pasukan itu kini mempunyai 29 pelumba berbakat termasuk pelumba yang pernah memenangi Tour de France, Giro d'Italia dan juga pemenang pingat emas pada kejohanan dunia serta Sukan Olimpik.
Bagi tahun 2009, pasukan Garmin-Slipstream membariskan pelumba hebat seperti Christian Vande Velde, David Millar, Bradley Wiggins, Julian Dean, David Zabriskie dan juga Svein Tuft.
Katanya Christian yang berasal dari Illinois, Amerika Syarikat adalah pelumba paling cemerlang apabila menamatkan musim 2008 dengan status pelumba berbakat dunia.
"Pelumba berusia 33 tahun itu menamatkan kalendar 2008 dengan melakarkan pencapaian hebat apabila menduduki tempat keempat pada Tour de France 2008 dan juga membawa pulang jersi kuning daripada Tour of Missouri,"" katanya.
Naim berkata seorang lagi pelumba pasukan itu, David Millar, 32, pula pernah mencatatkan sejarah apabila mencipta menjadi pelumba termuda memenangi jersi kuning pada Tour de France sekali gus menewaskan Lance Armstrong pada perlumbaan peringkat pertama saingan musim 2000.
"Dengan dibarisi pelumba yang berbakat, saya yakin Garmin-Slipstream akan berusaha keras untuk memberikan saingan sengit kepada 19 lagi pasukan lain pada LTdL kali ini," katanya.
Perlumbaan LTdL edisi ke-14 kali ini yang merangkumi jarak sejauh 1,029.9km akan mempertandingkan tujuh peringkat laluan bermula di Putrajaya ke Senawang (perlumbaan peringkat pertama), Senawang ke Melaka (perlumbaan peringkat kedua), Melaka (perlumbaan peringkat ketiga); Melaka ke Bandar Baru Bangi (perlumbaan peringkat keempat), Petaling Jaya ke Genting Highlands (perlumbaan peringkat kelima), Batang Kali ke Shah Alam (perlumbaan peringkat keenam) dan Kriterium Kuala Lumpur (perlumbaan peringkat ketujuh).
Sementara itu, pasukan Perancis, Bbox-Bouygues Telecom mendapat tenaga baru pada perlumbaan tahun ini apabila menyenaraikan bintang baru dari Jepun, Yukiya Arashiro dalam pasukan mereka.
KOSMO
Comments
Post a Comment