TEKA-TEKI mengenai siapa jurulatih skuad hoki negara yang baru nampaknya terus menjadi tanda tanya.
Kelmarin, Persatuan Hoki Malaysia (PHM) menerusi presidennya Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah memberitahu bahawa jurulatih asing yang bakal mengisi tempat Sarjit Singh itu akan diumumkan semalam.
Begitupun, harapan untuk mengetahui siapa individu tersebut nampaknya tidak kesampaian apabila PHM sendiri masih gagal mendapat sebarang maklumat mengenai status jurulatih itu yang dikatakan diuruskan oleh pihak ketiga.
"PHM masih belum pasti mengenai status jurulatih tersebut kerana belum mendapat berita daripada pihak ketiga yang menguruskannya," kata Timbalan Presiden PHM, Nur Azmi Ahmad kepada Kosmo! semalam.
"Saya sendiri tidak tahu siapa jurulatih yang dimaksudkan oleh Tengku Abdullah kerana kami tidak terlibat dalam proses ini, sebaliknya hanya membiarkan pihak tersebut menguruskannya.
"Cuma apa yang saya tahu, memang ada dua atau tiga nama calon jurulatih yang berminat untuk menjadi jurulatih skuad negara, termasuk yang sedang diuruskan oleh pihak tersebut," katanya lagi.
Jurulatih yang masih dirahsiakan oleh PHM itu secara dasarnya telah bersetuju untuk skuad negara selain menyatakan Malaysia sebagai keutamaannya untuk menabur khidmat.
Namun, Nur Azmi memberitahu, siapa pun jurulatih tersebut, individu itu akan diumumkan oleh Tengku Abdullah sendiri selepas dia pulang daripada menyertai perlawanan polo di Thailand tiga hari nanti.
"Sebenarnya saya tidak diamanahkan untuk membuat sebarang keputusan atau pengumuman oleh presiden kita, Tengku Abdullah," kata Nur Azmi.
"Jadi saya rasa lebih baik kita tunggu saja sehingga Tengku Abdullah pulang dan mengumumkannya sendiri. Saya tidak boleh membelakangkan presiden kita sendiri, itu tidak bagus.
"Apa yang saya boleh janjikan ialah isu jurulatih hoki ini akan selesai selewat-lewatnya hujung bulan ini. PHM akan cuba menyelesaikannya secepat mungkin kerana sedar kejohanan pertama Iaitu Sultan Azlan Shah sudah semakin hampir," ujarnya lagi.
Kosmo! difahamkan bahawa antara calon yang menjadi sebutan membimbing skuad negara ialah jurulatih China dari Korea Selatan, Kim Sang-ryul dan seorang lagi rakan senegaranya, Jeon Jae-hong.
Comments
Post a Comment