| |
| ROSLINDA mahu tumpu kepada karier olahraga. |
JAGUH lompat bergalah wanita negara, Roslinda Samsu tetap tenang walaupun status latihannya masih belum terjawab.
Begitupun, dia tetap menanam azam untuk mencipta sesuatu yang lebih membanggakan tahun ini.
Pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 4.40 meter itu menjadi bahan perdebatan segelintir pihak ekoran tawaran yang diterimanya untuk menjalani latihan di Pusat Latihan Berprestasi Tinggi (HPTC) di Fomia, Itali.
"Biarlah orang berpolitik di surat khabar mengenai kedudukan saya asalkan karier olahraga saya tidak terjejas," jelas Roslinda.
"Saya juga bersyukur kerana sudah matang untuk melalui semua ini.
"Sudah 10 tahun saya menceburkan diri dalam bidang ini dan rasanya ia telah menjadikan saya lebih dewasa untuk berdepan apa juga kemungkinan," tambahnya.
Begitupun, Roslinda berharap segala isu yang timbulkan ketika ini tidak akan menjejaskan peluangnya untuk menyertai sebarang kejohanan tempatan mahupun antarabangsa.
"Selagi mereka memberi peluang kepada saya untuk menyertai mana-mana kejohanan, selagi itu saya akan meneruskan latihan," jelas Roslinda yang kini berlatih di bawah kendalian Mansahar Abdul Jalil.
Sebelum ini, atlet kelahiran Kuala Nerang, Kedah itu mendapat tawaran daripada Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) untuk menjalani latihan di HPTC di Itali.
Begitupun, IAAF dalam tawaran terbarunya bersetuju untuk menghantar seorang jurulatih lompat tinggi dari Rusia untuk melatih Roslinda di HPTC Asia di Bukit Jalil.
"Sepatutnya, bulan ini (Januari) saya sudah mendapat seorang jurulatih dari Rusia, tetapi sehingga kini tiada berita mengenainya," tambah Roslinda.
"Jika betul saya akan mendapat jurulatih baru, maka ia adalah satu bonus buat saya."
Mengulas mengenai perancangannya tahun ini, Roslinda yang mewakili negara pada Sukan Olimpik di Beijing, Ogos tahun lalu bertekad untuk memperbaiki rekod kebangsaan, 4.40m miliknya sendiri.
"Sudah hampir tiga tahun rekod itu gagal diperbaharui, jadi tahun ini saya berazam untuk melakukannya (perbaharui rekod)," jelas Roslinda yang bakal memulakan aksinya tahun ini dengan menyertai Kejohanan Liga Antarabangsa Lompat Bergalah di Taiwan, Mac depan.
"Saya juga mahu memberi tumpuan kepada Kejohanan Dunia, Kejohanan Trek dan Padang Asia selain Sukan SEA," tambahnya.
KOSMO
Comments
Post a Comment