BARISAN wanita negara terus cemerlang pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Stadium Putra, Bukit Jalil semalam.
Paling membanggakan apabila dua perseorangan wanita, Julia Wong dan Lydia Cheah membuat kejutan dengan menewaskan pemain pilihan yang jauh lebih berpengalaman.
Lydia yang menduduki ranking ke-40 dunia, menundukkan pemenang pingat perak Sukan Asia 2006, Yip Pui Yin dari Hong Kong 21-15, 21-17 sementara Julia menewaskan pemain pilihan kelapan dari Bulgaria, Petya Nedelcheva 19-21, 21-16, 21-10.
Lydia yang bakal menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-20 tahun ini mengakui, dia masih belum memberikan aksi terbaik ketika menundukkan pemain pilihan ketujuh itu.
"Ini merupakan pencapaian terbaik saya kerana saya belum pernah menundukkan pemain dalam kelompok 50 terbaik dunia setakat ini.
"Ia juga merupakan kali pertama saya mara ke pusingan suku akhir Super Series. Namun pada perlawanan tadi, saya sebenarnya tidak dikerah untuk memberikan aksi terbaik.
"Saya percaya, saya mampu untuk memperbaiki lagi prestasi saya selepas ini," kata Lydia.
Pada pusingan suku akhir hari ini, Lydia akan menentang seorang lagi pemain Hong Kong, Wang Chen yang diletakkan sebagai pilihan ketiga kejohanan.
Julia pula akan menentang pemain pilihan pertama, Zhou Mi dari Hong Kong.
Beregu wanita No. 1 negara, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui juga mara ke pusingan suku akhir selepas menewaskan gandingan Bulgaria dan Denmark, Petya Nedelcheva-Mia Schjoett Kristensen 21-19, 21-13.
Juara Final Masters itu akan menentang pemain pilihan kelima, Yang Wei-Zhang Jiewen China.
Menurut Pei Tty, meskipun Yang Wei-Zhang Jiewen sudah keluar daripada Persatuan Badminton China, namun mereka masih lagi lawan yang harus diberi perhatian dan masih mempunyai skil yang hebat.
"Saya harap kami mampu untuk mencipta kejutan dengan menewaskan Yang Wei-Zhang Jiewen esok (hari ini)," kata Pei Tty.
Comments
Post a Comment