SYARIKAT penerbangan tambang murah, AirAsia akan terus terbang tinggi. Mereka bakal menjadi rakan karib kelab bola sepak terkemuka England, Manchester United.
AirAsia kini dikatakan sedang mengadakan perbincangan dengan United mengenai kemungkinan untuk menjadi penaja jersi kelab dari Old Trafford itu.
Ketua eksekutifnya, Tony Fernandes dilaporkan berada di London kelmarin untuk berjumpa dengan pegawai United bagi membincangkan kemungkinan itu.
“Memang tidak dinafikan langkah ini akan membawa banyak kebaikan kepada United dan ia dilihat pelaburan yang berbaloi,” kata Fernandez dalam laman blognya.
“Kami tidak akan menjadi jenama global hari ini jika kami tidak membuat pelaburan awal. Persoalan sekarang, adakah kami perlu menambahnya dan itu yang akan dinilai terlebih dahulu.”
United sebelum ini memberitahu, segala prospek penajaan baru berkemungkinan besar perlu membayar lebih daripada 19 juta pound (RM101 juta) setahun yang merupakan nilai tajaan semasa oleh AIG.
“Secara jujurnya, saya tak tahu apakah keseluruhan nilai harga yang ditetapkan untuk keseluruhan pakej penajaan ini.
“Tapi perlu dinyatakan semua komitmen penjenamaan kami agar ia memberi impak kepada kami sendiri.”
Justeru, timbul tanda tanya sama ada AirAsia dan Fernandes sanggup mengeluarkan jumlah wang melebihi RM101 juta setahun bagi memenuhi kehendak penajaan yang ditetapkan United itu. – AP
Comments
Post a Comment