Oleh Meor Hisham Zulkifli
sham@bharian.com.my
CORAK dan pendekatan yang diguna pakai oleh persatuan sukan, atlit dan agensi pelaksana di negara ini masih belum benar-benar mampu membangkitkan paduan tenaga bagi melahirkan atlit bertaraf dunia.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim, berkata ketika kemajuan sukan di negara lain sudah berkembang terlalu jauh, negara masih belum mampu keluar daripada kepompong lama.
“Ketika ini, saya melihat entiti sukan gagal mencetuskan sinergi (paduan tenaga) untuk melahirkan juara. Hanya yang dilihat, persatuan dengan pengaruhnya dalam satu kelompok, MSN (Majlis Sukan Negara) di satu sudut dan atlit di sudut lain.
“Sudah tiba masanya untuk melihat bagaimana sukan bola sepak di England, yang hanya menonjolkan seorang pengurus dan dia bertanggungjawab mentadbir segala aspek kelab bola sepaknya,” katanya selepas merasmikan Perhimpunan Atlit Program Cabaran 2010 membabitkan hampir 300 atlit bagi menghadapi saingan Sukan Asia dan Komanwel 2010.
Sementara itu, Razali berkata, walaupun kontinjen negara ke Sukan Sea di Laos akan dibarisi ramai atlit pelapis, ia tidak bermakna mereka tidak perlu memburu sasaran meraih sekurang-kurangnya separuh daripada 68 emas yang diperoleh ketika di Korat pada 2007.
Comments
Post a Comment