PEKAN - Presiden Persekutuan Hoki Malaysia (PHM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (gambar) tidak menolak kemungkinan strategi skuad hoki kebangsaan yang bakal mengharungi kelayakan Piala Dunia di New Zealand dari 7 hingga 15 November ini dikhuatiri terjejas ekoran pengguguran dua tonggak senior dalam pasukan.
Bagaimanapun, beliau yakin jurulatih, Tai Beng Hai telah memikirkan semasak-masaknya sebelum menggugurkan dua pemain terbabit, Ismail Abu dan Chua Boon Huat dan meletakkan pengganti muda yang dianggap lebih 'dahagakan kemenangan' untuk menggalas cabaran dalam saingan pada pusingan kelayakan tersebut.
Meskipun menyedari pengalaman kedua-dua pemain senior itu masih diperlukan tetapi beberapa aspek lain telah diambil kira sebelum menggugurkan mereka daripada skuad kebangsaan, ujarnya.
''Saya rasa memang terjejas sikit tetapi ia boleh diganti dengan pemain muda yang lebih dahagakan kejayaan. Kita memang merasa kerugian kerana pengalaman mereka tidak boleh diperoleh sekelip mata.
''Kalau ada pemain senior yang tidak dahagakan kejayaan, tidak berguna juga jika terus berada dalam pasukan. Tiada semangat dan banyak masalah peribadi atau keluarga, itu semua kita ambil kira," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis perjanjian persefahaman (MoU) antara Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) di sini, semalam.
Tengku Abdullah menegaskan, pihaknya mahu pemain yang benar-benar memberi tumpuan untuk memastikan skuad kebangsaan layak ke Piala Dunia di India tahun hadapan.
''Kita mahu pemain yang benar-benar fokus untuk menang dalam setiap perlawanan," tegasnya.
Dari segi pengamatannya, beliau mendapati semua pasukan yang bersaing dalam kelayakan seimbang kecuali New Zealand dan China.
''Kedua-dua pasukan itu yang diundi dalam satu kumpulan dengan skuad kebangsaan mempunyai kelebihan dan bakal memberi saingan," ujarnya.
Comments
Post a Comment