Oleh Ahmad Khawari Isa
ahmadkhawari@bharian.com.my
Zolkples Embong |
ANDAI ada yang tidak tahu menghargai peranan dan melaksanakan tugas diberi, mungkin sudah tiba masa untuk mereka berundur supaya tidak jadi penghalang kepada usaha melangkah ke hadapan.
Nasihat itu tersimpul daripada kenyataan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong, yang mengakui kecewa dengan insiden ponteng segelintir peserta pada hari pertama Konvensyen Sukan Kebangsaan, kelmarin.
"Berbeza tahun lalu, MSN tidak jemput semua orang untuk konvensyen kali ini. Kita pilih yang berkualiti, untuk bincangkan secara lebih teliti resolusi tahun lalu supaya dapat lebih dipertingkatkan.
"Kita mahukan perbincangan dan pembabitan aktif. Seharusnya insiden ponteng sebegini tidak berlaku ketika MSN menyediakan segala platform untuk menghimpunkan idea-idea terbaik," katanya.
Serentak itu, Zolkples menyeru peserta konvensyen kali ini supaya berkongsi pengetahuan yang diperolehi dengan pegawai masing-masing supaya ianya jadi agenda dan kepentingan yang dikongsi bersama.
Sementara itu, Zolkples turut menafi andaian beberapa resolusi tahun lalu ditolak begitu sahaja � seperti cadangan membayar gaji kepada atlit serta penubuhan universiti sukan.
"Cadangan gaji itu belum dilaksanakan, bukannya ditolak. Ketika ini, MSN belum terfikir untuk melaksanakannya, kerana ia perlu mengambil kira pelbagai aspek. Cuma, bayaran elaun seperti sebelum ini, akan tetap diteruskan.
"Cadangan universiti sukan itu pula di luar kuasa kami. Namun, seperti dijelaskan wakil Kementerian Pengajian Tinggi ketika hari pertama konvensyen, tuntutan ke arah itu ketika ini belum mendesak," katanya.
Comments
Post a Comment