KUALA LUMPUR - Seorang ahli akademik dari Universiti Malaya (UM) berpendapat, tidak salah ahli politik untuk menerajui persatuan sukan di negara ini.
Timbalan Pengarah Pusat Sukan UM, Prof. Madya Dr. Mohd. Salleh Aman berkata, apa yang penting sesiapa juga yang memimpin perlu ada kecintaan yang mendalam terhadap sukan yang diterajuinya.
"Pada saya tidak salah tetapi orang politik ini perlulah bersikap profesional, berpengalaman, berpengetahuan dan yang paling penting minat yang tinggi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Promosi dan Strategi Pembangunan Sukan Negara pada Konvensyen Sukan Negara 2009, semalam.
Menjawab pertanyaan Pengarah Majlis Sukan Negeri Melaka, Roslina Idrus, beliau menambah, walaupun kerabat Diraja yang berminat sekalipun, ia juga tidak salah, jika mereka mempunyai ciri-ciri tersebut.
Perkara ini turut disokong Pengarah Pusat Latihan Prestasi Tinggi (HPTC) Asia, Mohd. Musa Noor Mohd. yang menamakan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah sebagai antara contoh pemimpin terbaik.
Katanya, sejak sekian lama menjadi presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah menunjukkan kecintaan yang tinggi dan berterusan walaupun dikritik hebat peminat bola sepak negara.
"Dengan berkorban membiarkan diri baginda dikritik gara-gara prestasi merudum bola sepak negara, akhirnya pengorbanan itu berbalas apabila Malaysia akhirnya mengakhiri kemarau 20 tahun pingat emas Sukan SEA.
"Inilah pemimpin sukan sejati kerana sanggup bersusah-susah dahulu sebelum datangnya waktu senang dan menggembirakan semua peminat seperti ini," tegas Musa.
Comments
Post a Comment