Skip to main content

Ganga harus letak jawatan

Tengku Kamil Ismail Tengku Idris Shah
Tengku Kamil Ismail Tengku Idris Shah
Tengku Kamil minta dia undur jika tak sehaluan dengan Presiden BAM

SETIAUSAHA Kehormat Persatuan Badminton Malaysia (BAM), P Ganga Rao harus meletakkan jawatan dengan cara terhormat, seandainya tidak lagi mendapat kepercayaan atau menjalin hubungan baik dengan presidennya, Datuk Nadzmi Salleh.

Timbalan Presiden BAM, Tengku Kamil Ismail Tengku Idris Shah, berkata langkah Ganga itu mungkin jalan terbaik menyelesaikan kemelut yang menggoncang badan induk terbabit pada ketika ia masih bermegah dengan kejayaan Lee Chong Wei meraih gelaran perseorangan di Seluruh England.


“Ganga perlu letak jawatan andai tidak lagi dapat bekerjasama dengan Presiden BAM,” kata Tengku Kamil yang ditemui pemberita mengenai laporan Setiausaha Kehormat BAM itu digantung jawatannya berkuatkuasa serta merta, kelmarin. “Tetapi ia perlu dilakukan dengan cara terhormat. Apa yang penting ialah persediaan negara untuk Piala Thomas, Mei ini, tidak terjejas.”

Tengku Kamil, yang akan memangku jawatan Presiden BAM selama sebulan bermula, hari ini apabila Nadzmi berangkat ke Jerman untuk menjalani rawatan kesihatan, berkata dia tidak tahu menahu isu penggantungan Ganga.

“Saya tidak tahu dan tidak dimaklumkan oleh Presiden,” kata Nadzmi. “Oleh itu selagi belum ada surat rasmi daripada Presiden dan BAM, Ganga masih lagi dianggap sebagai Setiausaha Kehormat.

“Apapun, saya perlu menghormati keputusan beliau. Namun saya berpendapat adalah lebih baik sekiranya perkara itu, jika benar, dibawa berbincang bersama exco sekalipun presiden mempunyai kuasa penuh dalam pelantikan dan penggantungan setiausaha kehormat,” katanya

Oleh Lukman Salleh
lukmsal@bharian.com.my

Comments