Skip to main content

Dari Nibong Tebal ke Afrika Selatan


TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan cenderahati berupa replika Piala Dunia kepada Subkhiddin di atas pemilihannya sebagai pengadil Piala Dunia 2010 di Putrajaya baru-baru ini.



HALIM (berdua, dua dari kiri) bersama barisan pengadil dari Asia yang terpilih mengadili perlawanan pada Piala Dunia 1998 di Perancis.


HANYA tinggal dua hari lagi sebelum insan bernama Subkhiddin Mohd. Salleh memulakan perjalanannya ke Afrika Selatan bagi mengukir sejarah menjadi pengadil pertama dari Malaysia yang bertugas pada kejohanan bola sepak Piala Dunia.
Subkhiddin yang bakal menyambut hari lahir ke-44 pada 17 November depan, akan berlepas ke Johannesburg dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada tanggal 1 Jun ini.
Sebelum memulakan misi di bumi Afrika Selatan nanti, Subkhiddin yang telah bergelar pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sejak tahun 2000 jelas sudah bersedia baik dari segi fizikal dan mental.
"Sebenarnya kami semua sudah pun bersedia awal iaitu sejak tahun 2007 lagi. Tetapi persiapan kami semakin meningkat dari semasa ke semasa.

"Umpama daripada pemberat 1.5 hingga 2 kilogram pada ketika itu sehinggalah ke pemberat 6 hingga 8 kilogram pada ketika ini.

"Cuma apa yang diharapkan, saya bersama-sama dua pembantu saya kekal cergas menjelang tugasan di Afrika Selatan nanti.

"Saya sendiri setiap hari turun menjalani latihan fizikal di Padang Awam, Parit Buntar berdekatan rumah saya mengikut segala program dan jadual yang telah disediakan FIFA," katanya kepada Kosmo! Ahad baru-baru ini.
Subkhiddin yang merupakan seorang guru di Sekolah Menengah Vokasional Nibong Tebal, Pulau Pinang telah memulakan karier sebagai pengadil pada 1990 iaitu bermula di peringkat daerah.

Setelah genap 20 tahun mengharungi suka duka kehidupan sebagai individu berbaju hitam di tengah padang, Subkhiddin kini di puncak kariernya untuk mencipta sejarah membawa nama Malaysia di pentas Piala Dunia 2010 bermula 11 Jun ini.

Subkhiddin yang bertindak sebagai pengadil utama akan dibantu dua penjaga garisan iaitu Yuxin Mu dari China dan Jeffrey Gek Pheng dari Singapura untuk tergolong dalam kelompok 30 pengadil yang akan bertugas mengendalikan 64 perlawanan sepanjang kejohanan selama sebulan itu.

"Saya tidak pernah lagi mengendalikan sebarang perlawanan di Afrika Selatan. Tetapi jika di benua Afrika, saya pernah bertugas pada Piala Dunia B-20 di Mesir pada tahun lalu.

"Tetapi itu semua tidak menjadi masalah kerana kami telah pun dibawa melawat ke Afrika Selatan pada tahun lalu untuk menjalani ujian kecergasan, ujian perubatan dan pelbagai ujian bagi menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca dan persekitaran.

"Bagaimanapun, tidak semua lapan bandar yang menjadi venue Piala Dunia 2010 mempunyai keadaan yang serupa.

"Sebagai contoh, Durban terletak di tepi pantai dan mempunyai altitud tinggi yang boleh membuatkan kita cepat letih," jelas Subkhiddin.

Selain persediaan dari segi fizikal, Subkhiddin memberitahu, FIFA turut menekankan aspek mental bagi memastikan setiap pengadil yang bertugas di Afrika Selatan nanti membuat sesuatu keputusan itu dengan cepat dan tepat.

"Setiap hari, kesemua 90 pengadil dan pembantu pengadil ini perlu melayari satu laman web rahsia yang disediakan oleh FIFA untuk menjawab soalan-soalan perbincangan.
"Soalan kuiz ini berdasarkan satu situasi dalam perlawanan yang perlu ditentukan apakah tindakan wajar yang perlu dilakukan seseorang pengadil itu.

"Jadi kami semua akan memberi jawapan dan pendapat masing-masing sehinggalah pada akhirnya apabila tempoh perbincangan tamat, pihak FIFA akan memberi jawapan dan ulasan sebenar.

"Dari situ, kami semua dapat menetapkan piawaian bagi sesuatu situasi yang berlaku dalam perlawanan nanti. Ini kerana seseorang itu perlu membuat satu tindakan yang cepat dan tepat," katanya.
Biarpun Subkhiddin bakal menjadi pengadil Malaysia pertama yang bertugas pada kempen Piala Dunia, dia tidak melupakan jasa dua bekas pengadil negara yang turut pernah 'beraksi' pada Piala Dunia tetapi sebagai pembantu pengadil atau penjaga garisan.

Dua individu tersebut ialah Allahyarham Kapten Halim Abdul Hamid yang bertugas pada Piala Dunia 1998 di Perancis dan Mat Lazim Awang Hamat yang bertugas pada Piala Dunia 2002 di Korea Selatan dan Jepun.
"Arwah Halim ada memberi tips kepada kami sebaik dia pulang dari Perancis. Dia telah memberi gambaran tentang situasi perlawanan dikendalikannya dan apa perlu dilakukan untuk menjadi yang terbaik.

"Mat Lazim turut membuat perkara yang sama. Kami mengambilnya sebagai satu pelajaran dan pengalaman sebelum cuba mengaplikasikannya dengan situasi semasa pada ketika ini," kata Subkhiddin.

Halim bertugas untuk empat perlawanan Piala Dunia 1998 iaitu tiga perlawanan peringkat kumpulan dan satu perlawanan pusingan kedua.


Pada 10 Jun 1998, Halim menjadi penjaga garisan untuk perlawanan Maghribi menentang Norway yang ketika itu turut dibarisi bekas pemain Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer.
Selepas itu, Halim bertugas pula untuk aksi Romania-Colombia pada 15 Jun 1998 yang menampilkan Gheorghe Hagi dan Carlos Valderrama serta aksi Chile-Cameroon pada 23 Jun 1998.
Cameroon ketika itu dibimbing bekas jurulatih kebangsaan, Claude Le Roy.

Kemuncak tugasan Halim pada Piala Dunia 1998 ialah membantu pengadil, Kim Milton Nielsen dari Denmark mengendalikan aksi pusingan kedua antara Argentina dan England yang menyaksikan David Beckham dilayangkan kad merah.

Bagi Mat Lazim pula, dia sempat menjadi pembantu pengadil untuk tiga perlawanan peringkat kumpulan iaitu aksi Republik Ireland-Cameroon pada 1 Jun 2002 yang menampilkan Shay Given dan Samuel Eto'o.
Aksi Sweden-Nigeria pada 7 Jun 2002 yang menampilkan Henrik Larsson dan Jay Jay Okocha serta aksi Mexico-Itali pada 13 Jun 2002 yang menampilkan Rafael Marquez dan Paolo Maldini.

Ditanya berapa perlawanan yang akan dikendalikannya di Afrika Selatan nanti dan perlawanan membabitkan pasukan negara mana, Subkhiddin dengan ringkas menjawab: "Maaf, ada perkara tertentu yang saya terikat dengan peraturan FIFA termasuklah soalan ini."
Dengan hanya setahun sebelum bersara daripada pentas antarabangsa kerana pengadil FIFA tidak boleh melebihi usia 45 tahun, Subkhiddin berkata, dia mengharapkan akan ada pengadil dari Malaysia yang terpilih untuk mengadili perlawanan pada Piala Dunia 2014 di Brazil dan seterusnya.

"Latihan dan persediaan perlu bermula dari sekarang sebenarnya. Pada pandangan peribadi saya, terdapat seorang pembantu pengadil yang berpeluang cerah kerana dia kini berada dalam senarai 20 terbaik di Asia.
"Bagi pengadil utama pula, kita hanya ada seorang yang bertaraf pengadil junior elit iaitu masih belum memasuki senarai 10 terbaik di Asia. Jadi usaha perlu digandakan untuk dia bergelar pengadil elit.

"Untuk masa akan datang pula, satu saja harapan saya iaitu untuk melihat pengadil tempatan bergelar pengadil FIFA seawal usia 24 hingga 26 tahun. Saya sendiri pun lewat, jadi pengadil FIFA ketika usia 34 tahun," jelasnya.

Sebelum menamatkan bicara, Subkhiddin berkata: "Harap semua rakyat Malaysia mendoakan kejayaan saya sepanjang bertugas di Afrika Selatan pada Piala Dunia 2010.

"Semoga apa yang dirancang akan berjalan lancar seperti diharapkan semua. Insyaallah," katanya.

Oleh WAN FAKHRUL BAKAR

Comments

Popular posts from this blog

Malaysian junior athletes are just too ‘lembik’

Saya setuju. We are working on more coaches! “ @ManOlimpik : Malaysian junior athletes are just too ‘lembik’ http://t.co/7D7wmHWaNy ” — Khairy Jamaluddin (@Khairykj) June 10, 2014 The benchmark. Can our junior athletes train as hard as Malaysia's world No.1 badminton player, Lee Chong Wei? “IT IS okay lah. The training is not too bad lah. I will try lah … Wah, so hard lah today.” These are some of the common statements I hear from our juniors nowadays. It is not only in badminton. It is the easy-going, laid-back attitude and lack of competitiveness at grassroots level that we have problems producing quality players. I have travelled quite a bit. After ending my decade-long career with the national team, I went to play in the league in Europe. It’s different there. The European athletes know what they want. And they do it with real focus. Even the young ones possess admirable self-control and show a high level of commitment. During my time in the ...

Organising Major Sports Events Can Inspire Sports Culture Among The People - Khairy

PUTRAJAYA, June 5 (Bernama) -- Organising major sports events can help inspire sports culture among the people and ensure a healthy lifestyle said Youth and Sports Minister Khairy Jamaluddin. Khairy said the Tour of Malaysia cycling race organised since 1963, for example, can encourage more people to take the sport in a more competitive way or just for recreation purposes. "A study carried out by a world renown medical journal, The Lancet, revealed that 61 percent of adults in Malaysia do not engage themselves in active sports. "A study by the Health Ministry revealed that only 25 percent of Malaysians exercise," he said in his speech when launching the 2013 Tour of Malaysia (Jelajah Malaysia) at the Youth and Sports Ministry, here, Wednesday. "Cycling, though not as popular here as in countries like Denmark, the activity is becoming popular among the people as can be seen through an increase in sale of bicycles for recreation," he sa...

KBS realistik

TERUJA...Shabery (dua dari kanan) melancarkan Logo Tahun Industri Sukan 2011-2012 di Casa 1, MSN, semalam.    KETIKA beberapa sukan utama diletakkan sasaran meraih pingat khususnya emas di Sukan Olimpik 2012 London, penyertaan bola sepak dan hoki sebagai keluarga baru program Road To London pula dilihat sekadar membantu mereka melepasi kelayakan. Mungkin bersikap lebih realistik dengan keupayaan kedua-dua sukan itu di pentas lebih tinggi, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mahu segala bantuan diberikan kepada sejumlah 50 pemain bola sepak dan hoki kebangsaan bagi membolehkan mereka tersenarai sebagai kontinjen ke London. “Bagi acara hoki dan bola sepak, kita tidak boleh melihat bantuan perlu diberi selepas mereka layak tetapi kita akan cuba bantu mereka supaya mereka layak. “Tiada kompromi terhadap misi mendapatkan emas pertama tetapi sasaran kita tahun ini ialah mendapatkan seberapa ramai atlet ke Sukan Olimpik,” katanya selepas mempen...