KUALA LUMPUR - Presiden Persatuan Sukan Ekstrem Malaysia (MESA), Tan Sri Darshan Singh Gill telah dipilih sebagai naib presiden Persekutuan Papan Luncur (Skateboarding) Antabangsa (ISF).
Pemilihan Darshan sebagai calon pertama dari Malaysia dan juga Asia dilakukan semasa Perhimpunan Agung ISF di Boston, Amerika Syarikat, baru-baru ini.
"Perhimpunan Agung itu diadakan sempena Kejohanan Papan Luncur Sedunia di Boston. ISF dianggotai oleh 81 buah negara,” kata Darshan di sini, hari ini.
Bekas presiden Persekutuan Berbasikal Asia (ACC) itu berkata, hanya seorang peserta Malaysia, Kieron John Brodie mengambil bahagian pada kejohanan dunia itu.
Selepas melepasi pusingan awal, dia layak ke pusingan akhir sebelum menduduki tangga ke-31 daripada 57 peserta pada kejohanan dunia itu, katanya.
"Ini membuktikan peserta negara semakin berani untuk menempa nama dalam sukan ekstrem dunia,” katanya. - Bernama
Comments
Post a Comment