PELUMBA pasukan Androni Giocattoli, Jonnatha Monsalve menjuarai peringkat kelima Kejohanan Lumba Basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2011, semalam.
Meskipun berkayuh dalam keadaan cuaca hujan dan kabus tebal sepanjang laluan menuju ke Genting Highlands, ia tidak menghalang pelumba Venezuela itu untuk melintasi garisan penamat selaku juara dengan catatan masa 3 jam 33 minit 31 saat.
Kejayaan itu membolehkan Monsalve merampas Jersi Merah (Raja Bukit) daripada pelumba Azad University Cycling Team (IUA), Rahim Emami.
Tempat kedua pula menjadi milik pelumba veteran LeTua Cycling Team (L2A), Libardo Nino Corredor yang turut mencatat masa yang sama dengan Monsalve manakala Mirsamad Pourseyedi G. daripada IUA berada di tempat ketiga dengan catatan 3’33:32s.
Sebelum perlumbaan sejauh 124.3 kilometer dari Tapah semalam, pelumba pasukan Aisan Racing Team, Takeaki Ayabe serta Libardo disebut-sebut sebagai calon pilihan untuk menakluk puncak Genting Highlands.
Ini kerana, kedua-dua pelumba itu muncul juara dan naib juara pada peringkat keempat yang juga merupakan zon pendakian berstatus Hors dari Ayer Tawar ke Cameron Highlands (137.6km) kelmarin.
Bagaimanapun, Nino Corredor yang telah menjangkau usia 43 tahun lebih mencuri tumpuan apabila dia sekali lagi menjejakkan kaki di podium selaku naib juara manakala Ayabe menamatkan perlumbaan di tempat ke-38.
Lebih manis, kejayaan muncul naib juara semalam membolehkan Nino Corredor yang juga pelumba tertua pada LTdL 2011 menyarung Jersi Kuning selaku pendahulu individu keseluruhan yang sebelum ini menjadi milik Ayabe.
Sementara itu, Monsalve berkata, kejayaan yang diraihnya semalam tidak akan dicapai tanpa bantuan dan sokongan daripada rakan-rakan sepasukannya serta seluruh krew pasukan Androni Giocattoli.
“Saya mahu berterima kasih kepada semua yang terlibat terutama Emanuele Sella yang banyak membantu saya mengharungi perlumbaan peringkat kelima ke Genting Highlands hari ini (semalam),” jelas Monsalve.
Pemenang peringkat pertama dan kedua, Andrea Guardini daripada pasukan Farnese Vini-Neri Sottoli masih mengekalkan Jersi Biru (Raja Pecut) manakala Emami tampil sebagai pemilik baru Jersi Putih (pelumba terbaik Asia.)
Bagaimanapun, buat tahun ke-16 berturut-turut, barisan pelumba Malaysia masih gagal untuk menyaingi kehebatan pelumba asing dalam perlumbaan di peringkat pendakian berstatus Hors yang dibangga-banggakan selama ini.
Catatan terbaik pelumba Malaysia semalam hadir menerusi pelumba muda pasukan Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd. Saufi Mat Senan yang menjadi pelumba pertama negara sampai ke garisan penamat (ke-21).
Pelumba L2A, Ng Yong Li sekadar ditempat ke-30, diikuti Mohd. Adiq Hussainie Othman (ke-34), Mohd. Shahrul Mat Amin (41), Amir Mustafa Rusli (55), Mohd. Rauf Nur Misbah (69) dan Loh Sea Keong (72).
Hari ini, saingan akan diteruskan dengan peringkat keenam sejauh 107.0km yang akan bermula dari Rawang dan berakhir di Putrajaya.
Oleh NORZASRUDIN MOHAMED NOR
norzasrudin@kosmo.com.my
Comments
Post a Comment