NAIB Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk A. Sani Karim menawarkan diri untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden majlis itu bagi penggal 2011-2013, pada sesi pemilihan 18 Jun depan.
Sani berkata, beliau menawarkan diri selepas penyandang, Tan Sri Dr. M. Jegathesan mengesahkan tidak akan mempertahankan jawatannya bagi penggal depan.
"Selepas Dr. Jegathesan membuat keputusan tersebut, ramai rakan dari persatuan sukan memujuk saya untuk mengisi kekosongan tersebut.
"Dengan bakat kepimpinan sukan sebagai bekas presiden SRAM dan kini sebagai presiden Persekutuan Skuasy Asia sejak 2009, saya menawarkan diri untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden," kata Sani semalam.
Sani yang juga bekas presiden Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), adalah salah seorang daripada Naib Presiden MOM bagi penggal ini (2009-2011) selain Prof. Datuk W Y Chin, Datuk Zakaria Ahmad, Datuk Roy Rajasingham dan Low Beng Choo.
Sani berkata, beliau masih belum mendapat reaksi daripada rakan-rakan yang bersamanya sebagai Naib Presiden MOM tetapi menegaskan akan tetap bertanding sekiranya terdapat calon lain yang berminat dengan jawatan tersebut.
MOM akan mengadakan pemilihan bagi mengisi 12 jawatan pada mesyuarat agung tahunannya yang akan berlangsung pada 18 Jun nanti.
Sehingga kini, Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Sieh Kok Chi mengesahkan untuk mempertahankan jawatan yang disandangnya sejak 1992 sementara Dr. Jegathesan tidak akan mempertahankan jawatan Timbalan Presiden.
KOSMO
Comments
Post a Comment