KUALA LUMPUR - Selepas sekian lama dibelenggu pelbagai kontroversi, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) bakal melalui proses 'pemulihan' pada mesyuarat ahli majlis yang pertama 10 Oktober ini di bawah kepimpinan baru.
Presiden KOM, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, banyak perkara yang bakal dibangkitkan sebagai agenda perbincangan pada mesyuarat pertama itu terutama pembangunan olahraga.
Menurutnya, laporan siasatan dakwaan terhadap bekas Timbalan Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim yang dikaitkan dengan isu doping dan petisyen juga akan disentuh pada mesyuarat berkenaan.
"Setakat ini saya masih belum mengetahui isi kandungan laporan tersebut kerana ia masih berada pada Presiden sebelum ini Datuk Seri Shahidan Kassim.
"Sekiranya telah memperoleh laporan berkenaan sudah tentu kita akan membincangkannya pada 10 Oktober ini bersama ahli majlis yang lain," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Antara perkara lain yang dijangka menjadi kandungan mesyuarat tersebut ialah mendengar masalah daripada ahli gabungan bagi mencari penyelesaian berkaitan pembangunan olahraga di setiap negeri selain persiapan menghadapi Sukan SEA di Myanmar pada tahun depan.
Zainal dipilih menjadi Presiden badan induk olahraga negara itu selepas mendapat 23 undian menewaskan Shahidan yang memperoleh 21 undian pada pemilihan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-10 pada Ahad lalu.
Pada AGM tersebut perubahan turut berlaku pada kerusi Timbalan Presiden yang menyaksikan Datuk Wan Hisham Wan Salleh terpilih menyandang jawatan tersebut menewaskan Karim dengan perbezaan enam undian.
Sementara itu, Zainal turut memberitahu akan meminta pandangan ahli majlis untuk melantik seorang Pengurus Besar KOM yang tetap pada mesyuarat majlis pertama mereka.
"Setiap keputusan perlu mendapatkan pandangan ahli majlis sama termasuk dengan pelantikan jawatan Pengurus Besar.
"Saya juga akan mengadakan sidang media sebaik tamat mesyuarat majlis KOM tersebut," kata Zainal.
Ketika ini KOM hanya mempunyai penyandang Pengurus Besar iaitu S. Anthonysamy.
Sebelum ini Pesuruhjaya Sukan, Datuk Mohd. Yasin Mohd. Salleh turut berpendapat ketiadaan Pengurus Besar dalam kesatuan itu menjadi punca dokumen pindaan perlembagaan badan induk tersebut tidak teratur.
Oleh ZAZALI JAMIAN
sukan@utusan.com.my
Comments
Post a Comment