KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Selangor, Lions XII dan Kelantan mengesahkan tiket ke separuh akhir Piala Malaysia selepas berakhirnya perlawanan suku akhir kedua, Selasa.
ATM yang membawa kelebihan jaringan 3-2 pada perlawanan suku akhir pertama Jumaat lepas, mencipta kejutan terbesar setelah menewaskan juara bertahan Piala Malaysia, Negeri Sembilan dengan keputusan 3-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Seremban.
Juara 32 kali Piala Malaysia, Selangor pula mengesahkan kemaraan ke separuh akhir dengan keputusan agregat 5-2 selepas mencatatkan kemenangan tipis 2-1 ke atas Johor FC di Stadium Shah Alam.
Pada perlawanan suku akhir pertama Selasa lepas, Selangor mencatatkan kemenangan selesa, 3-1 ke atas Johor FC di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang.
Lions XII yang membuat penampilan pertama Piala Malaysia meneruskan kemaraan selepas mencatatkan kemenangan selesa, 2-0 ke atas Pahang di Stadium Jalan Besar, Singapura untuk layak menerusi agregat 3-2.
Kelantan pula hampir diaibkan pasukan kelab Felda United sebelum bangkit mencatatkan keputusan seri 2-2 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Baharu untuk layak ke separuh akhir dengan keputusan agregat 4-3.
Skuad Red Warriors sebelum ini mencatatkan kemenangan tipis 2-1 ke atas wakil kelab Lembah Klang itu pada suku akhir pertama di Stadium Hang Jebat, Sabtu lepas.
Pada perlawanan separuh akhir yang dijadualkan berlangsung pada 5,6,11 dan 12 Okt ini, ATM akan menentang Lions XII manakala Selangor bertemu Kelantan.
Comments
Post a Comment