KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) mencipta hatrik apabila mengulangi kejuaraan buat kali ketiga selepas menewaskan pasukan Tenaga Nasional Bhd (TNB) 3-0 pada perlawanan akhir Piala TNB 2012 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil di sini, malam Rabu.
Perlawanan akhir itu yang pada awalnya dijadualkan bermula pada pukul 8.30 malam terpaksa ditangguhkan hampir satu jam akibat hujan lebat.
Juara Liga Hoki Malaysia 2010 dan 2011 itu meraih gol pertama menerusi jaringan padang oleh penyerang, Tengku Ahmad Tajudin Abdul Jalil seawal minit ke-11.
Dua minit kemudian, KLHC mengukuhkan kedudukan dengan gol kedua menerusi Ismail Abu, juga menerusi jaringan gol padang.
KLHC terus mendominasi perlawanan dan menambah tekanan kepada TNB dengan jaringan gol padang ketiga mereka menerusi Muhammad Amerullah Abdul Aziz, seminit sebelum rehat.
-- BERNAMA
Comments
Post a Comment