KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) -- Pendatang baru Liga Super musim ini, Pahang bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mencatatkan kemenangan tipis, 3-2 ke atas pasukan berbelanja besar, Johor Darul Takzim FC di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam Selasa.
Kapten skuad kebangsaan, Safiq Rahim membuka tirai jaringan untuk pasukan pelawat pada minit ke-10 sebelum bekas penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha menambah gol kedua pada minit ke-25.
Skuad Tok Gajah yang tidak berputus asa bangkit mengurangkan defisit jaringan menerusi Mohd Fauzi Roslan pada minit ke-48 sebelum beliau mencipta gol peribadi kedua pada minit ke-72.
R.Surendran muncul wira pasukan Pahang dengan gol kemenangan pada minit ke-82 untuk membolehkan mereka mengutip tiga mata pertama sekaligus menerajui takhta Liga Super.
Turut mencatatkan kemenangan ialah Selangor yang menewaskan Negeri Sembilan 1-0 di Stadium Shah Alam hasil jaringan S. Kunalan pada minit ke-68.
-- BERNAMA
Comments
Post a Comment