KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) -- Saiz kontinjen negara ke temasya Sukan SEA 2013 di Myanmar pada Disember ini masih belum diputuskan kerana Majlis Olimpik Malaysia (MOM) belum menerima senarai atlet dan pegawai daripada Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).
Presiden MOM Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar berkata KOM akan menganjurkan beberapa kejohanan bagi memberi peluang kepada atlet mereka melepasi syarat had kelayakan temasya sukan itu.
"Jumlah bilangan atlet dan pegawai ke Sukan SEA mungkin diputuskan menjelang akhir Oktober atau awal November ini," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan tertutup dengan pengurus pasukan ke Sukan SEA di Wisma OCM di ibu negara, Khamis.
Tunku Imran berkata MOM bersetuju menghantar atlet berdasarkan kategori A dan B.
Atlet yang melepasi syarat kelayakan akan diletakkan di bawah kategori A di mana perbelanjaan mereka ditanggung sepenuh oleh MOM manakala di bawah kategori B, persatuan sukan kebangsaan perlu menanggung perbelanjaan bagi atlet masing-masing yang tidak memenuhi syarat kelayakan.
Bagaimanapun, MOM akan membayar kembali kos perbelanjaan atlet kategori B yang membawa pulang pingat emas atau perak.
Tunku Imran berkata Malaysia akan mengambil bahagian dalam 31 jenis sukan kecuali empat acara iaitu vovinam, perlumbaan bot tradisional, gusti dan kempo, yang memberi kelebihan kepada negara tuan rumah memungut pingat.
Sukan SEA ke-27 akan berlangsung di Nay Pyi Taw, Yangon dan wilayah Mandalay serta Ngwe Saung Beach dari 11 hingga 22 Dis ini.
--BERNAMA
Comments
Post a Comment