KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Majlis Olimpik Malaysia (OCM) akan merayu agar acara karate dipertandingkan dalam Sukan SEA 2015 pada mesyuarat majlis Persekutuan Sukan SEA (SGF) di Singapura pada 28 April.
Presidennya Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja'afar berkata penerimaan acara itu sebagai acara dalam Sukan SEA penting kerana ia menjadi lubuk pingat emas bagi kontinjen Malaysia dalam beberapa edisi sukan berkenaan sebelum ini.
"Walaupun peluang untuk melihat acara karate dipertandingkan pada 2015 (Sukan SEA di Singapura) terlalu tipis, kami akan cuba sedaya upaya untuk mengembalikan keyakinan negara tuan rumah pada mesyuarat itu nanti, tetapi merekalah yang akan memberi kata putus tentang jenis sukan yang ingin dimasukkan," katanya selepas merasmikan Kejohanan Taekwando Junior Nestle Koko Crunch 2014 di Wisma OCM di sini Isnin.
Pada awalnya, Singapura mencadangkan 30 jenis sukan dipertandingkan pada 2015 dalam mesyuarat Majlis SGF di Naypyitaw, Myanmar tahun lepas dan baru-baru ini, SGF bersetuju menambah enam lagi acara sukan, tidak termasuk karate, dalam mesyuarat di republik itu.
Tunku Imran berkata senarai muktamad sukan yang akan dipertandingkan pada Sukan SEA 2015 dijangka diumumkan SGF Jun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Jawatankuasa Penganjur Sukan Asia Tenggara Singapura (SINGSOC) Lim Teck Yin dipetik sebuah agensi berita asing sebagai berkata negara itu akan menganjurkan 30 sukan dan tidak menolak kemungkinan menambah lima atau lebih banyak jenis sukan ke dalam Sukan SEA 2015.
Sukan yang termasuk dalam senarai sedia ada ialah akuatik, memanah, olahraga, badminton, biliard dan snuker, boling, berkanu, berbasikal, lawan pedang, bola sepak, golf, gimnastik, hoki, judo, bola jaring, pencak silat, ragbi (tujuh sebelah), perahu layar, sepak takraw, menembak, bola lisut, skuasy, ping pong, taekwondo, tenis, perlumbaan perahu tradisional, triatlon, ski air dan wusyu.
Mengenai kejohanan itu, sebanyak 1,800 atlet taekwondo berusia 12 tahun akan beradu kehebatan dalam tiga acara peringkat wilayah - utara, selatan dan pantai timur - sebelum mara ke Grand Final pada 1 Jun di Stadium Persatuan Badminton Kuala Lumpur di Cheras.
Pertandingan bagi wilayah utara akan berlangsung di Dewan SJK(C) Yuk Chai, Ipoh, Perak pada 8 Mac, wilayah selatan di Dewan Tun Ali Bukit Katil, Melaka pada 5 April dan wilayah pantai timur di Stadium Tertutup Kuantan, Pahang pada 26 April.
-- BERNAMA
Comments
Post a Comment