KRISIS dalaman Persatuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) menyebabkan persatuan itu masih belum mempunyai senarai atlet untuk dihantar bertanding pada Sukan SEA Laos penghujung tahun ini.
Penolong Setiausaha Agung Pesaka, Bahrain Ibrahim berkata, mengikut amalan sebelum sesuatu kejohanan, pihak persatuan mempunyai senarai kasar atlet melalui pertandingan-pertandingan dalam negara sebelum disenarai pendek untuk ke sesuatu kejohanan.
"Tapi sebenarnya kita sudah dua tahun tak ada pemilihan sistematik, kita pun susah nak ambil tahu apa yang dibuat oleh gabungan-gabungan di peringkat negeri.
"Dua tahun ini saya anggap malapetaka, banyak perancangan kita tergendala," katanya semalam.
Katanya, perpecahan yang berlaku dalam Pesaka adalah akibat krisis perebutan kuasa dalam persatuan terbabit, yang juga menyebabkan persatuan peringkat negeri tidak aktif kerana tidak ada penyelarasan yang berkesan dengan pentadbiran Pesaka di peringkat pusat.
"Jalan terbaik untuk selesaikan masalah kami adalah melalui keputusan Pejabat Pesuruhjaya Sukan," katanya.
Katanya, permasalahan persatuan terbabit telah dibawa kepada Pesuruhjaya Sukan, Datuk Nik Mahmud Nik Yusoff tetapi tiada langkah berkesan yang diambil setakat ini.
Bagaimanapun, katanya, langkah terakhir yang boleh diambil oleh Pesaka ialah menggunakan atlet daripada Kem Pembangunan Silat di Kuantan yang rata-rata dibarisi oleh atlet pelapis. - Bernama
Comments
Post a Comment