PUTRAJAYA, 29 Jun (Bernama) -- Pusat Pembangunan Sukan Paralimpik bernilai RM40 juta akan dibina bersebelahan Kompleks Sukan Kampung Pandan di Kuala Lumpur dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun lagi, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek.
Beliau berkata pusat tersebut yang dibina mengikut keperluan golongan orang kurang upaya (OKU) akan membolehkan atlet golongan tersebut membuat latihan dan persediaan rapi bagi menghadapi temasya tempatan dan antarabangsa.
"Pusat tersebut merupakan sumbangan dan pengiktirafan kerajaan dalam memajukan sukan paralimpik di negara ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pembangunan Sukan Paralimpik Prestasi Tinggi di sini Isnin.
Pusat itu akan mengandungi blok pentadbiran, blok asrama bagi 300 orang, gelanggang berbumbung yang menempatkan kolam renang serta gelanggang sukan, lapangan memanah dan kemudahan infrastruktur yang lain, katanya.
Mengenai seminar tersebut, Shabery berkata seminar julung kali itu diadakan untuk meningkatkan kerjasama pelbagai agensi yang terlibat secara langsung dengan golongan OKU dan membentuk struktur pembangunan sukan paralimpik yang sistematik dengan hala tuju yang jelas.
"Sukan paralimpik perlu diperhebatkan dengan meningkatkan penglibatan golongan OKU dan menggilap bakat mereka bagi menjadikan sukan paralimpik satu keistimewaan," katanya.
Dalam perkembangan lain, Shabery berkata beliau akan membawa isu atlet bertanding di luar negara ketika penularan wabak influenza A(H1N1) sekarang, ke Kabinet.
--BERNAMA
Comments
Post a Comment