Oleh Harris Rajahdin
harajah@bharian.com.my
Terbabit dalam sirkit pro jadi bekalan ke Kejohanan Dunia
PENGALAMAN beraksi dalam sirkit profesional tahun lalu, mampu memberi kelebihan buat Shalin Zulkifli untuk mengharungi Kejohanan Bowling Wanita Dunia di Las Vegas mulai 24 Julai hingga 2 Ogos ini.
Dengan dirinya adalah pemain pro tunggal negara, harapan tinggi diletakkan kepada bahu Shalin untuk menangani saingan pasukan Amerika Syarikat yang membariskan semua pemain profesional, buat pertama kali dibenarkan dalam acara ini.
“Pengalaman saya beraksi dalam saingan profesional akan membantu saya dalam kejohanan ini memandangkan ia adalah kali pertama pemain profesional dibenarkan untuk menyertainya,” katanya.
Shalin, 31, melihat penampilannya di kancah profesional sebagai banyak membantunya berkembang sebagai pemain. Namun, dia kini dalam keadaan tertanya-tanya sama ada mampu meneruskan pembabitannya tahun ini berikutan permohonan bantuan kewangan masih belum diluluskan Majlis Sukan Negara (MSN).
“Tahun lalu, MSN memberikan RM70,000 bagi membiayai pembabitan saya di sana. Jumlah itu adalah untuk menampung kos penerbangan, penginapan dan penyertaan.
“Tahun ini saya meminta RM100,000 memandangkan saya akan menyertai lebih banyak kejohanan kali ini,” katanya.
Keadaannya dirumitkan berikutan pihaknya melepaskan hak milik pusat bowling yang diasaskannya sebelum ini, Pin Junction, Mutiara Damansara kepada ayah saudaranya awal tahun ini.
Comments
Post a Comment