|
|
MELAKA - Adam Agan Aziz, seorang pelajar berusia sembilan tahun, menjulang nama Malaysia di persada antarabangsa apabila menjuarai Kejohanan Skuasy Terbuka Remaja Jepun yang berakhir Ahad lepas.
Adam dari Sekolah Kebangsaan Ayer Keroh yang kali pertama diberikan pendedahan di peringkat antarabangsa, menjuarai kategori bawah sembilan pada pertandingan kali ke-23, berlangsung di Yokohama yang turut disertai oleh tujuh negara.
Bapa Adam, Aziz Jafar, 45, berkata, kejayaan yang diperoleh anaknya itu adalah satu permulaan yang baik kerana anaknya mula diberikan pendedahan bertanding di peringkat kebangsaan juga bermula tahun ini.
"Adam adalah juara bagi dua sirkit remaja bawah umur sembilan tahun peringkat kebangsaan yang diadakan awal tahun ini," katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Kejayaan pemain cilik itu diraikan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam di kediamannya di Seri Bendahara di sini semalam. - BERNAMA
Comments
Post a Comment