Kapten (B) Abdul Halim Abdul Hamid |
BEKAS pengadil Fifa, Kapten (B) Abdul Halim Abdul Hamid yang pernah menjadi pembantu pengadil sewaktu perlawanan Piala Dunia 1998 antara England dan Argentina meninggal dunia malam tadi.
Allahyarham, 47, menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Kangar kira-kira jam 9.20 malam tadi, dikatakan akibat komplikasi jantung dan sebelum ini dilaporkan menderita akibat keracunan pada tulang belakang.
Rakannya, Jaflus Musa yang juga bekas pengadil berkata, Halim pernah mengadu kepadanya mengenai kesakitan yang dialaminya sewaktu menghadiri kursus kejurulatihan di Ipoh baru-baru ini.
"Dia memaklumkan kepada saya bahawa dia menderita akibat keracunan tulang belakang dan pernah pengsan selain tidak mampu untuk berjalan," katanya.
Halim berkhidmat selaku pembantu pengadil pada Piala Dunia di Perancis pada 1998 dan bertindak selaku pembantu pengadil kepada Kim Milton Nielson yang memerintah Beckham dibuang padang selepas satu insiden dengan Diego Simeone di St Etienne.
Simeone kemudian mengaku dia menipu untuk mempengaruhi keputusan pengadil itu.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Wan Manirah Wan Mustafa dan empat anak, Nur Alya Haifa, Mohd Shah Iskandar, Nurul Aisya dan Hani Hilmi.
Comments
Post a Comment