Oleh Harris Rajahdin
harajah@bharian.com.my
SUNGGUH pun ada kemampuan, Daniel Bego tidak mahu mengulangi kesilapan yang pernah dilakukannya di Sukan Sea di Korat dengan menyertai jumlah acara terlalu banyak, sebaliknya menumpukan terhadap acara pilihannya di Vientiane, Laos, Disember ini.
Perenang berusia 19 tahun itu yang muncul pemenang pingat emas terbanyak Mini Olimpik, bulan lalu dengan lima, tidak mahu pisang berbuah dua kali apabila kesungguhannya mengambil bahagian dalam tujuh acara menyaksikannya hanya meraih dua emas berikutan dirinya yang jatuh sakit beberapa hari sebelum temasya bermula.
Daniel mempertahankan emas dalam 100m kuak kupu-kupu dan 200m gaya bebas tetapi gagal menambah kilauan dalam 200m kuak kupu-kupu, 100m gaya bebas dan terpaksa menarik diri daripada 400m gaya bebas serta menghadapi kesukaran untuk menampilkan prestasi terbaiknya dalam acara berganti-ganti.
“Saya mengambil bahagian dalam lima acara individu di Sukan Sea tetapi berdasarkan pengalaman, kami ini saya akan memilih acara saya dan mensasarkan yang mana saya memiliki peluang terbaik untuk menang,” katanya yang memenangi emas dalam 50m, 100m dan 200m gaya bebas serta acara kegemarannya, 100 dan 200m kuak kupu-kupu di Mini Olimpik.
Cabaran untuk Daniel mempertahankan mahkotanya di Sukan Sea pada kali ini dilihat lebih sukar memandangkan tidak banyak kejohanan yang disertai perenang kelahiran Sarawak itu tahun ini.
Comments
Post a Comment