SKUAD basikal trek kebangsaan akan menyertai kesemua empat siri Piala Dunia yang akan dipertandingkan tahun ini bagi memastikan lebih ramai pelumba negara layak beraksi ke Kejohanan Dunia di Denmark, Mac tahun depan.
Timbalan Presiden Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Naim Mohammad berkata, keputusan itu diambil bagi memenuhi syarat yang telah ditetapkan oleh Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) yang mahu sesebuah negara itu menyertai kesemua siri Piala Dunia.
"Tahun lepas, kita hanya menyertai dua siri sahaja iaitu di Beijing dan Melbourne di mana tiga pelumba negara layak untuk beraksi pada Kejohanan Dunia, sedangkan ramai lagi boleh layak seperti Fatehah Mustapa," katanya semalam.
Pada tahun ini, siri Piala Dunia akan bermula di Manchester (Oktober), Melbourne (November), Cali, Columbia (Disember) dan Beijing, China (Januari 2010).
Pada Kejohanan Dunia yang berlangsung Mac lepas di Poland, Malaysia berjaya memenangi satu pingat perak dan satu gangsa melalui Mohd. Azizulhasni Awang (200 meter pecut) dan Mohd. Rizal Tisin (1 kilometer ujian masa).
Naim menjelaskan kepentingan pelumba-pelumba kebangsaan menyertai pelbagai kejohanan di peringkat antarabangsa merupakan sasaran jangka panjang untuk membaiki ranking mereka bagi memastikan dapat layak secara merit ke Sukan Olimpik 2012 di London.
Comments
Post a Comment