PUTRAJAYA - Selepas kejayaan luar biasa menarik penyertaan lebih 200,000 belia pada sambutan Hari Belia Negara 2010, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berazam untuk menghimpunkan satu juta belia di Putrajaya pada program yang sama tahun hadapan.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, keazaman menarik penyertaan seramai itu datang daripada pandangan yang diluahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada beliau baru-baru ini.
"Perdana Menteri yang sangat gembira dengan sambutan pada tahun ini memberitahu, kalau kita berjaya menarik 200,000 belia, mengapa tidak dapatkan satu juta pula.
"Bagi menyambut cabaran Perdana Menteri itu, kita berazam untuk menghimpunkan satu juta belia di Putrajaya pada tahun hadapan," kata beliau ketika berucap pada Majlis Makan Malam Penghargaan Petugas-petugas Hari Belia Negara 2010 yang diadakan di Kompleks Sukan Air, Presint 6 di sini malam tadi.
Comments
Post a Comment